Monday, 2 October 2017

Jujur

Semalam kami keluar makan bersama buat kali kedua. Dua hari di kk cukup buat aku rindu amat padanya. Kedai ABC tutup dan haluan bertukar ke musbee. Nasi goreng kung fu katanya, aku melihat ia sebagai suatu amaran untuk aku berlaku jujur.

Kami berbual mesra, lebih mesra dari gigi sungai yang tak jemu menghempas tebing batang limbang. Angin petang itu benar-benar menenangkan lelaki Terengganu yang sedang berdebar jantungnya. Perbualan santai bermula. Dua jam tidak sia-sia kerana sepanjang itu, senyumannya cukup mempesona. Dia pakai "weges" (betulkan jika silap ejaan). Maka hari itu aku lebih rendah dari si manis.

Perbualan yang lebih serius bermula didalam kereta. Sengaja stereng dilencongkan melalui jalan lebih jauh. Yer, masa sangat penting dan aku perlukan masa itu. Satu demi satu susunan kata aku hujahkan, seakan seorang peguam bela sedang bersungguh mempertahankan defendannya. Dia diam, tenang bak seorang hakim yang cukup berpengalaman.

Hujahan diterima, lalu tiba-tiba ada air mata yang mengalir. Aku cuba tenangkan suasana dengan sedikit lawak. Senyumannya kembali terukir dan hati aku pula yang goyah kali ini. Dan pada petang itu, sebuah janji telah aku tanam. Diazankan dengan sumpah pada masa. Demi masa sesungguhnya janji itu akan aku tepati. Dan perpisahan pada hari itu adalah antara perpisahan terindah pernah aku alami.

1/10/2017
3.56 petang
Batu biah.

Thursday, 14 September 2017

Korban keegoan

14/9/2017 akan kekal menjadi tarikh sedih bagi sebahagian ahli keluarga anak-anak tahfiz dan guru Maahad Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah. Kebakaran yang meragut 20 nyawa menendang hati umat manusia untuk bersedih sama.

Kesedihan adalah sifat manusiawi. Seperti biasa, salah menyalah akan menyusur selepas sesuatu tragedi sedih berlaku. Bukanlah melarang untuk mencari punca salah tapi kadang-kala kebenaran harus diakui walaupun pahit. Dalam kita bercakap soal tanggungjawab men'agamakan manusia, tanggungjawab terhadap keselamatan dan nyawa turut perlu terpikul sama. Iya, kecelakaan dan kemalangan seperti kebakaran pusat tahfiz ini bukan dirancang ataupun diminta namun persediaan untuk menghadapinya harus ada dalam setiap diri manusia berakal, lebih-lebih lagi bagi sebuah institusi pendidikan berteraskan agama.

Berapa nyawa lagi mahu dikorbankan?

Sudah berapa kali kes hampir sama berlaku? Berapa banyak nyawa lagi harus terkorban baru kita ingin berubah. Sebagai manusia berakal, kita harus ada perancangan yang teliti dan berubah ke arah lebih baik. Kemampuan untuk mengurus sebuah institusi non-governmen bagi jangka masa panjang harus ada. Sampai bila kita harus mengharapkan keajaiban dari langit untuk memayungi kelemahan-kelemahan kita. Akal adalah kurniaan mulia dari Tuhan, maka urus dan pandulah hati (nafsu) mengikut jalan sepatutnya. Membuka sesebuah institusi pendidikan harus dengan tanggungjawab yang merangkumi semua sudut, sama ada dari soal silibus pembelajaran, suasana kelas yang kondusif, tenaga pengajar yang berkualiti, sistem pentadbiran yang cekap dan yang paling utama ialah kemampuan kewangan jangka panjang yang baik. Pelan keselamatan sekiranya berlaku kejadian yang tidak diminta harus ada dalam membina sesebuah institusi persekolahan. Cukuplah sering kali kematian sebegini di sedapkan dengan kata-kata "mati mereka adalah syahid" . Sesedap tempoyak yang dimakan bersama nasi panas.

Derma adakah salah?

Derma adalah jalan mudah mendapatkan wang, lebih-lebih lagi pungutan atas nama agama, pastinya mendapat sambutan. Meminta derma tidak pernah salah. Namun jangan sesekali menjadikan derma sebagai punca utama kepada pendapatan mengurus. Perancangan ekonomi yang sistematik dalam jangka masa panjang harus diteliti sebelum satu-satu pusat pendidikan itu didirikan, lebih-lebih lagi bagi sebuah pusat pendidikan beraliran agama. Risiko-risiko yang bakal berlaku harus dijangka dan dibina plan penyelesaian agar kita bukan sekadar menjaga kelangsungan kadet-kadet agama, bahkan menjaga maruah pendidikan berasaskan agama ini serta nyawa anggota yang terlibat dengannya. Keegoan bukan wujud hanya dalam diri mereka yang berseluar jeans ataupun memakai kot hitam. Keegoan juga boleh wujud pada balik jubah dan sehelai kopiah.

Kita kena jujur untuk akui, majoriti daripada institusi pendidikan agama yang ada ketika ini hanya bergantung harap pada derma untuk kelangsungan pengurusannya. Berapa banyak tahfiz yang dibina asalnya hanya satu bangunan iaitu surau/masjid. Di situ juga lah asrama penginapan pelajar dan di situ juga kelas pembelajaran. Kemudian dengan sumbangan derma barulah terbina bangunan asrama dan kelas-kelas pembelajaran anak-anak ini. Bukankah ini satu keegoan yang disorok dengan kata-kata tanggungjawab men'agamakan manusia. Keselesaan dan keselamatan tidak dititip beratkan, apa yang lebih utama adalah seseorang tokoh itu ada pusat pendidikannya sendiri dan memangku gelar "tok guru". Akhirnya yang tersisa hanya fitnah pada pendidikan aliran agama. Masyarakat melihat institusi ini hanya sebuah tempat para ustaz mencari makan dan aliran agama adalah satu sistem pendidikan yang sudah ketinggalan zaman. Tidak selesa bahkan tiada masa hadapan.

Kelemahan-kelemahan ini perlu kita renungkan dalam pada kita bersedih.  Namun terus-menerus bersedih tanpa ada penambahbaikan adalah satu pengkhianat pada nyawa-nyawa yang sudah terkorban. Sebaik-baik manusia itu adalah yang belajar dari kelemahan semalam dan mengatasi pada hari ini. Kita boleh menyalahkan kerajaan, namun sampai bila? Kegagalan kerajaan membantu dari sudut kewangan dan moral adalah suatu perkara yang perlu dibincangkan dalam sudut pandang yang lain, tetapi bukankah kita diberi pilihan sebelum sesuatu pusat itu dibina. Sedarlah yang kita tidak pernah dipaksa untuk membina pusat pendidikan swasta, tetapi kemahuan hati dan keegoan kita yang membinanya. Akhirnya  keegoan yang melebihi kemampuan fizikal dan material ini telah mengadaikan beberapa nyawa yang tidak berdosa. Janganlah menggunakan "takdir tuhan" dan juga "mati syahid sebagai alasan. Bertanggungjawablah...!

Sunday, 6 August 2017

Dah seminggu ni aku bersedih. Cuma yang beza kali ini,aku tak jadi bodoh. Tapi yang bodohnya pulak, aku makin jauh dengan Tuhan.
Huhuhu, apalah nak jadi aku ni.

Wednesday, 22 February 2017

20.2.2017- 10pagi


Semalam rokok kembali menjamah bibir aku setelah sekian lama aku tinggalkan. Enak, seperti mana waktu aku mula mencintai mu. Dan malamnya, aku batuk tak berhenti henti. Perit sekali, seperti perit yang ku rasa beberapa hari lalu, waktu menerima jemputan kahwin mu.

Awal subuh tadi sebelum keluar rumah, aku memberitahu kepada ibuku di dapur. Aku tidak pulang malam ini. Harap ibu mengerti walaupun dia tidak mengetahui. Entah bagaimana untuk aku mulakan apa yang aku fikir semalam. Yang jelas perkataan babi tidak henti-henti berlari di ingatan. Lalu seekor babi terbang dari awan dan mengetuk kepala ku dengan sebatang cokmar seraya berkata;

"larilah, pergilah. Kau sudah mulia untuk menggunakan namaku dalam makian mu. Sebutlah dengan lafaz yang jelas. Jangan kau ragu, namaku kini sudah milik mu.

Dan anjing yang menyalak mula meniup harmonika..