Semalam kami keluar makan bersama buat kali kedua. Dua hari di kk cukup buat aku rindu amat padanya. Kedai ABC tutup dan haluan bertukar ke musbee. Nasi goreng kung fu katanya, aku melihat ia sebagai suatu amaran untuk aku berlaku jujur.
Kami berbual mesra, lebih mesra dari gigi sungai yang tak jemu menghempas tebing batang limbang. Angin petang itu benar-benar menenangkan lelaki Terengganu yang sedang berdebar jantungnya. Perbualan santai bermula. Dua jam tidak sia-sia kerana sepanjang itu, senyumannya cukup mempesona. Dia pakai "weges" (betulkan jika silap ejaan). Maka hari itu aku lebih rendah dari si manis.
Perbualan yang lebih serius bermula didalam kereta. Sengaja stereng dilencongkan melalui jalan lebih jauh. Yer, masa sangat penting dan aku perlukan masa itu. Satu demi satu susunan kata aku hujahkan, seakan seorang peguam bela sedang bersungguh mempertahankan defendannya. Dia diam, tenang bak seorang hakim yang cukup berpengalaman.
Hujahan diterima, lalu tiba-tiba ada air mata yang mengalir. Aku cuba tenangkan suasana dengan sedikit lawak. Senyumannya kembali terukir dan hati aku pula yang goyah kali ini. Dan pada petang itu, sebuah janji telah aku tanam. Diazankan dengan sumpah pada masa. Demi masa sesungguhnya janji itu akan aku tepati. Dan perpisahan pada hari itu adalah antara perpisahan terindah pernah aku alami.
1/10/2017
3.56 petang
Batu biah.