Thursday, 12 November 2015

Perempuan

Aku suka watak perempuan yang lemah lembut, baik dan suka berfikir tapi keras dan melawan bila ada perkara yang perlu dilawan.

Aku cinta pada mu manisku

Friday, 6 November 2015

Aku pasti pulang

Dah seminggu aku hidup dalam keadaan merendahkan diri. Rasa tenang dan tenteram. Menyedari rasa nikmat senyum dan suka apabila melihat sekeliling kita ada yang berusaha untuk berjaya. Walaupun dalam masa yang sama, aku sendiri semakin jauh ditinggalkan  oleh sekeliling yang ada.

Sudah berbulan-bulan aku hilang diri aku. Senyum dari bibir-bibir perempuan yang aku sayang kesemuanya pucat. Seakan hilang keindahannya dari balik mata aku. Mungkin hanya aku yang melihat sedemikian.

Aku masih lagi berstatus merempat. Mengumpul duit untuk belanja pulang. Moga ada rezeki, banjir tahun ini aku pasti menunggu dengan sedia di Terengganu. Aku pasti pulang.

Tuesday, 13 October 2015

Dari islam dia memeluk melayu(pangkat)

Hujan turun dengan lebat semalam. Aku kuyup kebasahan meredah hujan dengan motosikal buruk.

Sebaik sampai aku capai tuala. Segelas kopi aku panaskan. Lalu aku tatap perlahan-lahan gambar yang dihantar.

Oh rupanya mereka sudah bersatu. Berpeluk senyum.

Untung la pemimpin, di kala hujan datang, mereka berpeluk gembira, pasti panas.

Kita rakyat, banjir besar yang datang sekalipun, basah tetap basah. Lapar, susah dan resah. Tiada yang ingin memeluk kita melainkan sampai suatu masa, kita dipanggil untuk memberi undi percaya pada mereka.

Puisi atas motor

Tadi atas motor, waktu  dalam gelap dan di langit pancaran kilat sesekali bercahaya. Gugusan bintang tiada malam ini. Barangkali hujan mahu turun.

Aku baca puisi yang terlintas dalam fikiran. Melaung - laung seorang diri. Tapi aku hampir lupa kesemua perkataan yang aku sebut melainkan satu rangkap

"setelah kau rampas segala hak kami,
Kau paksa pula kami taat dan patuh padamu,
Tiada upaya kami melawan
Sesudah itu kau hilangkan akal kami,
Kata kau bukan tugas kami memberi pendapat
Lalu kau suruh kami mengaku 'tuan, kau itu tuhan',
Dalam samar-samar kau melompat dan kami melihat
Oh..  Rupanya kau itu yang berhormat "

Monday, 12 October 2015

Kepura-puraan

Hari ini mahathir dan panglima-panglima dia buat sidang media. Misi sama, nak jatuhkan Najib. Walaupun aku benci dahi licin dan bibir merah tu, tapi aku rasa benda ni tak sebesar apa yang kita masih nampak. Sebenarnya ada benda lebih besar dari itu.

Entah la apa yang menjadi matlamat sebenar kem masing-masing. Tapi yang pasti nasib rakyat tengah dijadikan kepingan cip judi dalam pertaruhan dua puak paling jahanam dalam negara kita sekarang ini.

Dalam masa sama, pembangkang masih asyik diulit dengan perang saudara yang tak nampak jalan keluar lagi. Seolah-olah apa yang berlaku pada hari ini seperti dirancang iaitu kesan dasar pecah dan perintah. Bukan pecah dan perintah yang berlaku waktu British, tapi kaedah yang hampir sama dalam zaman yang berbeza. Melaga-lagakan pihak yang perlu bersama rakyat bagi memudahkan mereka meneruskan perang dalam kalangan warlord-warlord kapitalis Malaysia.

Entah bila akan berakhir perkara ini. Cuma apa yang aku masih boleh syukurlah di tengah-tengah situasi ini adalah rakyat negara kita tidaklah se-ekstremis negara luar. Walaupun ada yang menganggap ketenangan rakyat dalam menerima permainan politik ini sebagai satu kebodohan, namun ianya tetap aku anggap satu rahmat.

Bayangkan jika rakyat kita ini terlalu terpengaruh. Tidak mustahil kita bakal menjadi seperti dunia Arab. Bergaduh dan berbunuhan.

Setakat ini aku hanya mampu memerhati. Sebagai rakyat yang belum pernah mengundi, apa yang mampu ku buat hanyalah berdoa semoga ada kelapangan buat kita semua di kemudian hari.

Semoga kita semua di dalam kebenaran

Saturday, 10 October 2015

Kerana BABI

yah, alam ini cantik kan?
ya cantik

yah, babi tak cantik kan?
ya babi tak cantik

yah! yah! nape hutan tu gondol
oh..itu mungkin ada babi yang sondol nak

yah! yah! nape jalan tu pecah-pecah
oh... itu mungkin laluan lori babi nak

yah! yah! nape langit kita berdebu
oh... itu mungkin babi sedang berzumba

yah! yah! nape laut itu merah
aghh! banyak soal kau ini anak.

jamal, kumpul orang kampung
ini kali babi kuning kita guling

Untuk kau Ardy

rindu kami
padamu 
tak pernah 
mati 
begitulah 
harapnya
pada
janji
menunggu
kami
di syurga nanti
Ardy

Friday, 9 October 2015

Suhaily

"For as long as I can remember, I've been searching for some reason why we're here, what we are doing here, who we are? If this is a chance to find out even just a little part of that answer, I think it's worth a human life, don't you?"- (watak Ellie Arroway dalam filem contact, 1997)

Perlahan air mata jernih gugur dari tempayang mata sebaik selesai membaca surat untuk gebe. Menangis bukan kerana tulisan-tulisan itu tetapi membayangkan satu persatu peristiwa yang berlaku akhir-akhir ini. Di luar hujan gerimis masih tidak berhenti. Jerebu yang sudah sebulan lebih bebas berkeliaran semuanya musnah dalam hujan yang beberapa jam. Lebur menjadi debu basah dan mengalir perlahan ke dalam longkang sebelum mencemarkan sungai yang sudah sedia kelam dengan sisa keladak dari lombong-lombong emas haram.

Masih tergiang-giang suara esak tangis sambil terketar-ketar memaklumkan berita sedih.
 "Di, prof dah tiada, kaki aku patah". 
Beribu kali suara itu bermain di dalam kolam fikiran ku. Kenangan lama satu persatu datang melawat hati. Suara lemah lembutnya yang lebih kepada seorang bapa daripada seorang pensyarah, menikam hati kerasku menjadi lemah dan lembut seumpama tilam kapas baru. 

Prof, kami rindu padamu.... 


Thursday, 8 October 2015

Berita sedih lagi

Malam ini aku dapat lagi berita duka. Kali ini dari kelantan. Seorang pensyarah merangkap bekas dekan juga ayah bagi murid-muridnya telah pergi menghadap ilahi. Seorang yang periang, serius dengan kerja, mudah beriteraksi, sangat menghormati pendapat orang lain dan lelaki melayu sejati. Perginya sewaktu dalam tugasan sukarelawannya yang hampir setahun sudah berjalan. Membantu mangsa-mangsa banjir di Kelantan terutamanya di Kuala Krai dan Gua Musang. Entah apa lagi nak dituliskan, sesungguhnya Arwah pergi dalam keadaan sangat mulia, dalam tugas untuk keharmonian manusia.

Terasa sayu. Belum kebah dari kejutan Arwah Ardy yang pergi mengejut seminggu yang lalu, hari ini berita sedih baru pula menyusul. Berehatlah Prof Suhaily, sesungguhnya nasihat, pesan, ilmu dan janji-janji yang prof semai dalam diri kami akan menaungi perjuangan prof. Semoga arwah digolongkan dalam kalangan yang beriman dan dirahmati ALLAH S.W.T.


Penjara ilmu

Banyak benda yang membuatkan kerjaya guru makin hambar. Salah satunya nilai kebebasan yang sepatutnya menjadi teras dalam pendidikan telah dibangkul sampahkan oleh para pegawai tadbir diplomatik yang menjadi atasan di daerah pendidikan.

Bersatulah para pendidik. Ilmu itu hak semua. Perjuangan kita adalah membebaskan ilmu dari penjara birokrasi

Dialeg

Sebenci-benci aku pada orang luar yang cuba mengajuk dialeg Terengganu, lagi benci aku pada orang yang dok sohoo nok speaking england bila duduk dalam kelompok Melayu asli.

Ceritanya begini....

Dia mari kat ambe, sambil kibah-kibah baju, dia pon speaking nak tanya sesuatu. Ambe tengok muka keruh je, nyer mari lalu mikir dalam paler, "jong ni mari duane?"

Belan-belan jawab soalan, ambe try la tanya. Dengan slang kl ambe soal, "habis itu, awang ini asal dari mana?"

Dalam paler ambe masa tu dok teke doh, "orang keyel ni napok pada gayer"

Spontan yer jawab "jenagor"

Kejut ambe. Belan tu ambe tanya sekali lagi "mana?". Konon-konon ambe dok dengor la tadi

Dengan konfiden yer jawak  "jenagor dude"

Kerah perut ambe suke. Owoh mu awang, orang jenagor. Hulu lagi dari Ulu pueh. Tapi nyer tengok pada gaya dok Saboh lasung. Sakit tayar ngoh mu jong.

Jenis ni orang tranung royak "kemang mulut". Ikot mu la awang, asal bahagia sudoh.

Bak kata eman manang, "orang tranung ni macam penyu, jauh mana pon dia gi, sapa masa dia akan balik telur jugok di pantai tranung. Begitu jugok orang tranung, jauh mana dia gi, akhirnya negeri sendiri gok hok sedak"

Bereh awok-awok iter. Beng ambik series dengan cerita ni, ambe gura. Orang jenagor beng berasa hati ehhh

Tuesday, 6 October 2015

Gila lagi

Pernah atau tidak suatu hari kau membayangkan yang kau bakal dipenjara, duduk dalam kurungan bersaiz 6x7 kaki, dengan bau busuk tandas menjadi teman siang dan malam dan makanan harian kau lebih hina dari sepinggan longgokan sampah.

Pernah atau tidak kau membayangkan yang kau tiada apa-apa. Dihina keji manusia sekeliling. Merempat dari satu tempat ke satu tempat mencari nikmat. Menyelongkar sampah demi sesuap nasi basi untuk mengalas perut. Lalu tangan kau menadah ke langit dan cukuplah keampunan Tuhan yang kau harapkan. Nikmat senang dan kekayaan sudah kau kambus dalam-dalam dari mengisi ruang hati kau sendiri.

Pernah atau tidak kau membayangkan yang kau diberi pilihan sama ada untuk mati atau menjadi Gila. Lalu apa yang akan kau pilih.

Pernah atau tidak kau membayangkan apa yang aku bayangkan?

Pernah atau tidak kita mempunyai sebenar-benar perasaan atau kita selama ini hanya mengikut hawa nafsu.

Noktah.!

Tak usah disesalkan
Tak usah dinanti
Kerana diri kau seorang
Sejuta aku terlepas pandang

Bumi Tuhan amat luas
Diisi dengan makhluk lemah
Berkenal dengan kasih dan iman
Jika ada cinta kita kabulkan saja
Tak usah lagi berutus surat
Bimbang dijalanan itu ada lencongan tak terhormat
Cukup saja kau aku yang merasa
Tiada lagi titik celaka yang dipanggil ketiga
Noktah......

Rimba hitam

Sambil melihat pokok pinang itu terhuyung-hayang digoyang oleh angin yang bergembus bersama guguran hujan, aku mengingati wajahnya. Di corong radio, suara Suhaimi Meor Hassan mengalunkan epilog cinta dari Bromley. Di hadapan ku masih teralun-alun asap kopi hitam yang mengalir dari bibir cawan.

Manisku, semalam aku melihat reaksi mu dari jauh sewaktu kau menerima hadiah itu. Hadiah dari seorang manusia yang aku tidak tahu asal juga tujuannya. Tapi wajahmu menjawab segala pertanyaan ku. Wajah yang aku gaul dengan kerendahan hati ku setelah kau mendirikan tiang ego secara harmoni.

Sekarang ini, satu demi satu cebisan tulisan  yang penuh dengan perasaan aku bakar. Biarlah segalanya menjadi abu. Setelah cinta yang aku tanam, kau taburkan dengan racun hingga menjadi arang hitam. Pekat dengan kepedihan.

Monday, 5 October 2015

Bin atan-g

Pagi ini bening sekali. Jerebu masih menguasai langit kami, jagat raya  Malaysia. Sekolah diarah tutup selama dua hari. Ada wajah suka yang berlari di teratak mataku semalam. Gembira kerana mampu pulang ke kampung halaman.

Halaman buku itu perlahan-lahan aku buka. Dari lembar pertama ke lembar seterusnya, segelas kopi pahit yang kehilangan deria panasnya masih berbaki setengah. Perasaan bahagia seakan terpadam dari diri aku setelah melihat  sikap mereka yang aku sayang sehari dua ini. Ada jiwa yang sudah mati, dan ada jiwa yang bakal mati. Di garisan perlawanan yang aku sendiri cipta, aku sendiri kecundang. Hanya kau wanita, aku kini jadi terbuang. Berdoalah agar aku tidak menjadi binatang jalang

Wednesday, 30 September 2015

Jerebu

Malam itu sangat melankolik
Gugusan bintang hilang diragut jerebu
Hadiah persahabatan dua buah negara islam
Kiriman tahunan seumpama ufti zaman silam

asap, debu, dan bebutir raksa menerawang langit bumi.
Makhluk kecil yang kononnya berkuasa semuanya terkulai tiada bicara
Bangunan sekolah dikunci
Kedai-kedai seumpama mati
Dan kemanusiaan mula menghilang dalam jerebu sepi....

Perogol alam

Atas nama wang, sungai itu kau lacurkan
Atas nama kepentingan, hutan itu kau rogol tanpa belas ihsan
Dahulu sungai itu memberi rezeki pada insan kecil
Yang paginya memukat petang menjala dan malamnya melukah
Setiap saat dimodalkan demi sesuap makanan
Kini kebulur setelah pintu rezeki dirogol oleh makhluk kayangan.

Ketaatan pada setan dilaung-laung demi poket mu,
Manusia kecil diam takut tertulah derhaka
Dan kau tersenyum bangga sambil perutmu melebar kedepan
Melayut turun tanda rezeki haram
Sambil tangan kananmu memaut segelas wine merah,
Perlahan tangan kananmu menghalalkan sebuah lagi pencerobohan
Syukurlah, ini semua sudah ketentuan tuhan
Ayat pemerintah yang takut pada iblis bertopeng setan.

Dan kau sungai itu, juga kau hutan manisku
Aku tetap disini dalam setia mencintai mu
Biarlah berkali kau dirogol, diinzal oleh makhluk itu,
Beribu tahun lagi aku kan setia menyayangi mu
Kau lah kekasih sejati ku.

Pengharapan

Musibah ini kadang kala datang tak terduga.  Lebih melankolik bila kau mula cuba untuk membina diri, membina suatu cerita baru dia datang dan menghempas seketul beban yang tak tertanggung. Saat itu kau ada dua pilihan, satu kau ambil jalan kecewa dan berputus asa atau yang kedua kau mula sedar akan hakikat insan itu perlu bertuhan. Maka, bagi aku pilihan yang ada hanyalah yang kedua.

Tangan yang selama seringkali menjadi alat melawan ketentuanNya, rebah dan menadah memohon sedikit belas ihsan. Tadahan yang  mengharapkan rahmat dan keampunanNya menjadi alat bantu dalam menempuh satu persatu paya kesusahan. Moga dilapangkan jalan yang selama ini berbolak-balik, menjadi jalan ketenangan dalam keimanan.

Tapi kita tetap manusia, punya hawa nafsu juga keegoan yang tinggi. Setelah selesai menadah, kita lingkupkan muka ke belakang dan mengulang kembali dosa silam. Penyesalan yang datang hanya bersifat sementara. Lalu apabila datang lagi masalah yang tidak dipinta, barulah kita kembali kepada yang Esa. Inilah hakikat manusia, sombong dalam keadaan lemah, lupa dalam keadaan sedar, bangga dalam keadaan tiada apa-apa. 

Tuhan, bimbanglah aku ke jalan yang kau redhai. Jangan kau lorongan aku pada jalan orang-orang yang kau azab dengan azab seksa yang sangat pedih. Golongankan dalam kalangan hambaMu yang beriman dan berjaya, jangan kau himpunkan aku dalam mereka yang Engkau nistakan. Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia yang sangsi dengan duniaku sendiri. Paculah aku dengan rahmatMu yang ALLAH.

Monday, 28 September 2015

Puisi buatmu kawan.

wajahnya membayangkan ketegasan
suaranya keras membawa kebenaran
hidup dalam jimbaraya untuk dunia
diakhir nyawa menuju jalan keimanan

kawan
aku masih mengingati setiap gerak langkah
setiap patah kata juga setiap inci suara
kau dan aku tiada beza,
dagang rempat yang mencari sebutir permata
dihanyut alur kemodenan zaman
kejayaan kita diukur pada selembar kertas
dalam menukang mimpi, kau berundur mengadap Ilahi

kawan,
aku masih mengingati wajah akhir mu
ku bayangkan saat akhir arwah ayahku
aku masih mengingati wajah sara pagi itu
ku bayangkan raut wajah ibuku dahulu
dikeliling pusara mu, ada kawan yang merindu

kawan,
pergilah kau berehat dengan tenang
segala mimpi yang kau coret, kami kawanmu akan terjemahkan
dari sepotong tulisan, kami kan gubah menjadi sebuah kenangan
janganlah kau bersedih duka, kami disini mendoakan kau bahagia
cukuplah air mata malam itu, esok mentari senyum pasti menyinar
dan jerebu duka perlahan hilang ditelan masa.

dalam memori kasih, kau sahabatku.

12.12 a.m.
29/9/2015.
~sigila~

Saturday, 26 September 2015

Menangis

Dah 3 hari aku menangis setelah sekian lama tak mengalir air mata. Bermula hari raya haji iaitu saat melihat wajah mu kawan, hari kedua di sepanjang jalan dalam kereta waktu aku pulang. Hari ketiga aku menangis kerana keadaan sekeliling aku.

Menangis la untuk lepaskan segala yang kau rasa. Tak perlu untuk kau malu atau sombong. Kau juga manusia. Manusia punyai air mata. Jika tidak dialirkan, maka kau akan lemas dalam beban-beban yang tak berhenti.

Thursday, 24 September 2015

Selamat jalan saudaraku

Der, aku bawak alip lawat kau pagi ni. Dia bawak geng yang jumpa kau tahun lepas. Deris pon ada sekali, semalam deris sempat usung "tilam" kau, selimutkan kau kat tanah itu. Sara pon dah sampai umah kau. Azwan kejap lagi sampai. Sabtu ni iz datang lawat kau pulak. Esok mat datang katanya, hari ni dia balik Kelantan kejap. Mathis masih di Kelantan, dia kata akan datang jugak esok atau lusa kalau sempat

Ady, kak Yuyu, kak ain, kak yati semua rindu kau. Pojie telefon aku semalam, aku tahu dia rindu kau dari suara dia. Ady, dato ada tulis status dua kali tentang kau, dia siap sedia bas lagi untuk saudara kita datang lawat kau. Adam pon ada tulis pasal kau. Hari ni satu Malaysia dah kenal kau kawan. Hahaha

Semalam kami semua  bincang dalam group yang kau buat, segala mimpi-mimpi yang kau rangka kami nak selesaikan. Azri nak buat banting apa ntah tapi dia nak bawak masa konvo kau nanti. Semalam kami sembang segala kenangan yang kita semua lalui. Kami cuma nak sara gembira dalam group tu sebab kami tahu kau pasti tersenyum bila sara tersenyum . Insyallah, kami janji akan jaga sara untuk kau. Kita kan adik-beradik.

Der, fifi tak dapat datang sebab dia sakit. Tapi aku janji, aku akan usaha bawak dia datang jumpa kau satu hari nanti. Kau tenanglah disana. Jangan bimbang soal kami. LMP takkan mati. Begitu juga kau yang akan sentiasa hidup subur dalam hati kami semua. 

Ady, dengan aku selain deris, roomate kau Wan pon ada. Dia dan deris siap bawak pancing lagi mari ke dungun. Deris cerita kat aku dia menangis. Tapi bila depan orang lain dia buat-buat senyum. Semalam dia tolong kau betul-betul dari saat kau turun rumah hingga selesai segalanya. Wan pulak dia tak tidur sampai ke pagi. Dia tunjuk aku video dan gambar kau. Kami bertiga melepak kat pantai yang tak jauh dari tempat kau bersemadi. Kau jangan risau, deris tak lama lagi dah nak kahwin. 

Waktu balik tadi, aku bawak deris dengan Wan singgah rumah aku. Aku cerita kat mereka kau mengidam nak makan durian musang King tapi tak boleh makan sebab mahal. Kalau aku tahu kau nak pergi, memang aku beli hari raya lepas.

Ok la, aku berhenti dulu menulis. Deris dah panggil aku balik. Kami tengah lepak kat belakang Tanjung jara resort. Terd cakap sini antara tempat kau melepak. Cantik kerusi atas air laut  tu. Sesuai sangat kalau kau bawak sara dinner kat situ. Hahahha

Malam nanti aku tulis lagi. 

Aku tarik balik niat cuci tangan aku. Insyallah, aku akan kembali melawan. Aku nak selesaikan apa yang kita sama-sama dah mulakan.

Wednesday, 16 September 2015

Skandal

Kadang-kadang aku bosan dengan skandal dan segala macam rahsia yang datang dalam hidup aku. Entah apa yang ada dengan jasad aku, setiap orang aku kenal akan aku jumpa rahsia peribadinya.

Setan!

Friday, 11 September 2015

Pagi bisu

Dah lama aku hidup dengan keadaan gelak dan gembira, tapi pagi tadi ada manik kaca di kolam mata aku. Semuanya bermula apabila ada yang berbual soal lebah di stor sukan. Bagi aku, juga bagi keluarga aku, lebah sangat memberi kesan kepada kami. Dah 5 tahun berlalu, dan setiap detik, setiap peristiwa juga setiap apa yang dilalui aku masih ingat satu persatu.

Kata orang....

“Sometimes the best memories are sad, because you know they will never happen again.”

Dan ada banyak memori yang menjadi bayang kepada hidup aku selepas 30/10/2010. Semoga kau digolongkan  dalam kalangan penghuni syurga Ayah.

Kenangan

Saat irama lagu itu berputaran, aku seakan bisu tiada bicara. Sesekali senyum menyulam wajah kusam ini. Wajah-wajah yang hadir di dalam mimpi malamku seakan menari-nari di bayangan mata. Dan kenangan yang terimbau pada pagi hari mengalirkan air mata pada pipi yang suci tiada berdosa.

Ada yang kulihat berlari. Lapar, dahaga, kehilangan punca, terpingga-pingga dan sesal dengan kehidupan menjadi warna wajah mereka . Jalan-jalan kenangan seakan beban yang menyukarkan setiap langkah yang di pijak. Cahaya yang diharap tidak pasti bila akan hadir. Dan di celah segala, suara anak kecil memohon ehsan manusia bergayutan dari satu sudut ke sudut yang berbeza.

Alam. Suatu bentuk kurniaan Tuhan yang maha Esa. Diciptakan manusia agar menjadi pelukis gambar dunia. Ada yang melakar alur keharmonian, namun ada juga yang menggali longkang kejahatan.

Diatas singgahsana berdiri jasad-jasad yang berakalkan perut dan nafsu. Dari tempat tinggi itu, arahan suci dialun-alun. Beberapa inci dari kaki, melutut para penjual agama. Menulis dan menghujah setiap dosa agar menjadi pahala. Bicaranya bicara syurga, sambil tangan meratah dosa.

Lalu aku tetap di sini. Menanti kau kekasih hati. Orang yang aku sayang, aku cinta, dan aku sanjungi. Kalian yang pernah baik padaku, pada dunia yang kalian cintai. Berjuang lah semampu mu, sesungguhnya kalian makhluk-makhluk yang tidak pernah lelah dari bermimpi. Mimpi sama seperti ku, satu dunia menyampaikan wahyu yang Esa. Dalam harmoni kita berselingkuh mesra.

Sunday, 6 September 2015

Tragedi masjid Kuala kubu

Semalam, hari Sabtu 5/9/2015 tepat jam 5.48 petang di masjid Kuala Kubu telah terjadi suatu peristiwa ngeri lagi mengejutkan.

Selesai melabur di tandas masjid, aku segera mengambil wuduk. Tangga tinggi di bahagian belakang masjid aku daki. Aku lihat Afiq terlentang. Katanya dah selesai solat.

Aku apa lagi, betulkan kedudukan kat bahagian belakang masjid, dalam kawasan "lambur"  masjid kata orang Terengganu terus mengangkat takbir.

Selang beberapa detik, terdetik di hati, "betul ke kiblat aku ini". Dan aku terpandang corak mozek yang tak sehala dengan tubuhku. Aku terus berhenti. Dari balik dinding, aku mengintai ke dalam masjid.

Rupanya aku salah kiblat. Aku solat menghadap ke arah mata angin selatan.

Selepas peristiwa tersebut, aku kini insaf dan sentiasa berjaga-jaga. Mohon semua tolong aminkan doa aku ini.

"semoga tiada mata yang melihat pada ketika itu. Jika ada yang melihat, maka Kau lupakan lah ingatan mereka terhadap peristiwa itu Ya Allah yang maha Pengasih lagi Penyayang.

Panggil aku HAJI!

Setiap tahun, bila tiba musim menunaikan haji, maka berbondong-bondong la manusia ke Tanah Suci. Jika sebut pada mulut, semuanya menyatakan niat yang sama "menunaikan haji di baitullah bagi yang mampu"

Waktu kecil dahulu, aku selalu mendengar cerita dari orang tua. Katanya sekarang dah senang nak ke Mekah. Naik kapal terbang beberapa belas jam dah boleh sampai. Dahulu kalau nak ke Mekah, 3 bulan naik kapal laut baru boleh sampai. Semalam aku tengok pada dinding facebook, gambar-gambar orang kita yang nak ke Mekah. Semuanya senyum gembira. Ada yang kali pertama, ada yang kali ke berapa dah. Maknanya disini, kini sangat mudah untuk seseorang itu laksanakan haji. Asal saja ada duit. Jika tidak tersenarai dalam kuota tabung haji, bagi yang mampu boleh pergi melalui agensi swasta.

Semalam juga aku lihat pada dinding facebook aku gambar keadaan mangsa banjir di Kelantan yang di muat naik oleh seorang pensyarah aku yang sejak banjir tahun lepas tak henti-henti dengan kerja sukarelanya melalui NGO. Semalam juga, aku tengok tidak henti-henti manusia berkongsi gambar mangsa perang Syria yang lari ke Eropah. Paling jelas gambar mayat anak kecil yang lemas akibat bot karam.

Ramai yang mengkritik negara arab kaya yang tidak hulurkan bantuan. Salah satunya Arab Saudi yang ramai kawan dan saudara-mara kita sedang kunjungi. Untuk makluman, melalui amalan haji dan umrah sangat membantu ekonomi Arab Saudi. Aku boleh simpulkal ini merupakan pelancongan ibadah.

Dulu aku pernah tulis mengenai cadangan untuk boikot haji dan umrah bagi beberapa tahun. Bukan tujuan untuk melawan agama, tapi atas dasar solidariti kita pada nasib umat akibat kebiadapan arab dan ketakutannya pada Amerika. Bagi yang kali pertama aku masih boleh pejam mata, tapi jika yang tiap-tiap tahun ke Mekah ini kadang aku rasa nak maki.

Iya, memang hak kau untuk ke Mekah sebab guna duit kau. Tapi kau pernah dengar atau tidak yang lebih afdal duit itu disalurkan kepada yang lebih memerlukan. Bahkan kau juga boleh mengajar saudi. Biar kali ini tiada manusia yang ke Mekah. Boikot haji dan umrah bukan atas dasar kau mahu mencabar Tuhan, tapi sekadar mengajar arab agar mereka cuma ada satu Tuhan iaitu Allah yang Esa. Bukannya menyembah kepada Amerika Syarikat.


Thursday, 3 September 2015

Baik diam dari terus bodoh

Makin banyak aku cakap, aku kritik, aku tulis aku rasa aku makin bodoh. Bercakap tentang orang lain, masalah orang lain, cerita orang lain. Ulas macam aku cukup sempurna. Tak ada dosa dan tak pernah silap. Kadang-kadang aku perasan yang aku semakin riak.

Pernah aku cuba berhenti. Aku berjaya untuk seketika. Itu pun sebab aku cuba lari seketika setelah aku kecewa dengan perancangan yang aku rancang gagal setelah sekian masa dan tenaga aku guna.

Entah la, aku manusia. Tak pernah lelah dari kumpul dosa. Buat silap dah jadi perkara biasa. Tak ada rasa bersalah mahupun menyesal dengan semuanya. TUHAN, aku berdoa kepada mu. Aku bukan siapa - siapa, aku cuma hamba mu yang berdosa. Ampun dosa ku. Kuatkan iman ku. Teguhkan amalan ku terhadap mu. Aku tak sanggup pulang kepada mu dalam keadaan hina. Dalam keadaan manusia yang celaka. Tuhan, semoga kau perkenankan permintaan hamba. Hamba mu yang tak pernah sesal dari sombong dan angkuh dengan Pencipta yang Esa.

Khamis
3/9/2015
9.59 p.m

Kecewaliss

Hari ini kita belajar perkataan baru, "kecewalis". Suatu istilah yang merujuk kepada lelaki-lelaki yang gagal, lemah dan tidak berjaya sehingga terpaksa mencari suatu jalan lain bagi menutup kelemahan itu. Contohnya gagal dalam cinta dan memilih dunia selainnya untuk menutup kelemahan dalam cinta. (kamus dewan madi, 2015)

Ok, aku mudahkan pengajaran topik hari ini dengan sebuah kisah yang tidak berkaitan dengan yang sudah mati.

Bacalah dengan nama madi!

Ada satu mamat ni, namanya iz, (mungkin nama sebenar).  Perjuangannya nampak power, kental dan berbisa. Setelah diselidik rupanya memilih dunia aktivisme setelah gagal dalam semua perkara terutamanya soal wanita.

Entah apa badi yang melingkar badannya, setiap cuba membuka layar cinta, pasti batu sauh jatuh. Maka karam lah impian mamat sesikat ini bersama serikat memeseswe nya. Tapi yang menonjolkan lagi kelemahannya bila dia suka berimaginasi yang dia terlalu powerrrrr. Ingat saudari saudari, kalau jumpa jenis sembang tinggi ke langit, percayalah yang ini merupakan simpton-simpton kecewaliss

Akhir kata, selamatkan wanita dari kecewaliss. Save Malaysia from gagalis

Tuesday, 25 August 2015

Merdeka kah hamba

Tiap tahun, tiap ogos
Budak-budak itu kau kerah
Kau arah mereka pacakkan bendera
Dan di langit matahari merah meranah mata
Manik peluh membasahkan baju putih
Seragam rasmi manusia bernama murid sekolah
Di hujung sana, di dalam bilik biru warnanya
Beberapa orang pengarah tenaga murid sedang ketawa
Mengajar merdeka tapi sebenarnya mendidik jiwa hamba
Tanpa sedar, sinsingan lengan baju merdeka dulunya kini sudah tiada.
Merdeka!!!

Sunday, 23 August 2015

Anak China naik perahu
Sedang mendayung hujan Gerimis
Hancur hati orang tak  tahu,
Mulut tertawa hati menanggis.

Pulau makasar tempat berteduh
Tumpuan dagang para santri
Jika tersurat  tiada jodoh
Apa diharap cinta tak pasti

Hujan Gerimis membasuh bumi
Mencuci daki darat lautan
Sudahlah nasib miskin begini
Tiada seorang mahu berkawan

😢😢😢

Orang menanam, kita juga menanam
Orang menanam dengan ilmu
Kita menanam mahu meniru
orang menanam padi
kita menanam lalang
orang akhinya menari
kita akhirnya memaki
belajarlah sebelum bertindak
tidaklah kau bodoh lagi sia-sia

Sudikah kau membaca....




.....Selepas puas makan
aku menyanyi
selepas puas menyanyi
aku membaca
selepas puas membaca
aku minum
selepas puas minum
aku kembali mengulang kesemua rutin diatas
akhirnya aku tidur
esoknya bangun melakukan cerita sama
demi memadam cerita lama kita
cerita yang kau koyak selepas aku tulis seindah rasa
terima kasih manisku.
esok aku cuba menulis kisah yang baru
harap kau sudi membaca.......


Sambungan "sudikah kau membaca" yang aku tulis setahun lalu khas untuk mu. Setakat ini tiada lagi yang membacanya selain kau. Koyaklah kertas itu semahu mu. Asal tidak hati yang satu ini.

Cerita Praktikum aku di Seri Lipis

Aku tanya budak-budak tu, sempena bulan merdeka apa yang kamu rasa? yang kamu tahu?  dan yang akan kamu boleh hayati.?

Jawab mereka

"aman cikgu"
"takde perang"
"dapat makan McDonald"
"Keh takpayah makan ubi kayu hari-hari"

Aku tanya lagi, Siapa Agong pertama. Dia dari negeri mana? Dengan pantas suara-suara langau berbunyi.

"Perak!! Sultan Pahang!!! Raja Serawak!!"

Gila budak-budak ni. Nak kata anak Vietnam hanyut tahun 70-an, muka semua melayu tambah dua orang anak India dari ladang Selbone yang sebelah je dengan Felda Kechau.


Aku bagi hint. Agong pertama Tanah Melayu yang gambar dia dok atas duit kertas kamu. Cuma buka dan lihat.

dan kau tahu apa jawapan mereka kali ini?


"ZETI AZIZ cikgu agong pertama!!!"

entah apalah mak bapak kau bagi baca kat rumah. entah apa juga cikgu-cikgu kau sebelum ini ajar. Kasihan anak bangsa aku.

Tak seindah wajah.




Ahad-23 Ogos 2015

Hari ini aku buka mata jam 8.45 pagi. Subuh aku hanyut buat kali kedua. Kali pertama sehari sebelum itu setelah sekian lama aku jaga diri.

Dari luar tingkap, masih berkabus tempat ini seperti kebiasaan paginya. Tanah pilihan kolonial suatu ketika dahulu. Jangkaan aku suhunya waktu dahulu pasti lebih sejuk. Masih segar dan selamat dari tercemar angkara manusia iblis.

Jam 9 telefon berbunyi, suara famy mengingatkan kenduri tahlil dirumahnya jam 12. Aku ke kedai mencari nasi lemak. Semua habis melainkan beberapa biji kuih. Pusing balik rumah masak meggi.

Sudah makan aku kejut semua, siap-siap kita nak pergi makan-makan. Dalam hati, hari ni aku masih boleh memandang wajahnya. Senyum sangat manis seumpama tebu dan ketawanya mampu membuatkan kau tidak tidur malam seminggu.

Sampai di majlis, orang tengah tahlil. Aku buat muka selamber sambil senyum dekat bapak dan duduk di beranda kerana ruang tamu sudah penuh. Raub sangat panas jika nak dibandingkan dengan Lipis.Berpeluh jugak aku sambil meratib. Satu lagi panas sebab dah tak sabar nak makan. Bau tempoyak patin menusuk-nusuk usus perut.

Sebaik selesai tahlil, semua bangun menuju ke tempat makan. Waktu itulah si dia keluar sambil menatang apa benda entah. Tapi aku tak nampak mukanya melainkan sisi belakang.

makan.......

selepas sejam, aku tumpang solat di bilik fizi, Hajat nak melepak. Tak sampai 10 minit tetamu entah dari mana datang, penuh semua ruang rumah. Aku apa lagi, jumpa bapak, senyum-senyum dan salam cium tangan. Saya balik dulu

balik la aku dalam keadaan kempunan.....

lagu tak seindah wajah aku dengar dalam kereta waktu balik. Perghhh, betul-betul menusuk kalbu,

Thursday, 13 August 2015

Duit yuran kem latihan

Semalam aku buat spotcheck asrama lelaki sebab kebelakangan ini jumpa banyak sangat puntung rokok dan ramai budak yang bawak henpon ke sekolah. Biasalah, sekali serbuan dilakukan, berguni barang rampasan yang diperolehi.

Tapi bukan itu yang aku nak cerita. Semalam, sedang aku selak tilam pada suatu katil, aku jumpa helaian-helaian kertas yang bertulis. Sangkaan pertama, "tak lain ni mesti surat cinta". Apa lagi, aku dah mula senyum dan perlahan baca. Sambil tu aku kritik penulisnya, apa benda surat cinta tak bau bedak. Tak rare langsung budak ni.

Tapi sangkaan aku meleset, rupanya surat itu merupakan cebisan rayuan seorang pelajar yang mewakili rakan-rakanya kepada guru agar nama mereka dipotong dari mengikuti kem anjuran sekolah. Punca sebab duit. Antara alasan yang diberikan ibu bapa mereka orang sudah. Yuran kecemerlangan yang berharga rm250 pon belum habis lagi dilunaskan, kini yuran kem sebanyak rm100 pula perlu dibayar. Dinyatakan pekerjaan ibu bapa, bilangan anak dan gaji bulanan.

Tapi entah kenapa surat itu masih ada dengan pelajar. Kenapa tidak dihantar kepada guru. Tarikh yang tertulis adalah beberapa bulan yang lepas.

Aku pernah jadi pelajar, dan aku faham betapa peritnya kita nak memohon wang dari bapa. Mungkin para guru perlu bijak dan sedar yang semua pelajar kita tidak mempunyai ibu bapa yang bergaji seperti seorang guru.

Sunday, 2 August 2015

Bangunlah bangsa wanita

Hari ini aku berjalan menyelusuri bandar lama Kuala Lipis. Deretan kedai lama seakan menarik aku kembali ke zaman kolonial. Jauh di atas bukit di sebalik pekan kecil itu, megah berdiri bangunan binaan kerajaan British yang mana kini menjadi pusat pentadbiran kerajaan.

Di hadapan sebuah kedai gunting rambut, dalam keadaan asap kenderaan yang memeritkan tekak dan memedihkan mata aku melihat para pekerja asing sedang mengubahsuai bangunan lama. Barangkali untuk dimodenkan gaya bangunan itu agar akur dengan perubahan zaman.

Dibalik para pekerja itu, terselit seorang ibu yang menjadi salah seorang tenaga kerja. Aku jangkakan usianya lewat 40-an. Di tangannya ada besi dan kerjanya mengikat besi konkrit agar selari dengan acuan. Di langit, matahari menyimbah bahang panasnya tanpa belas. Titik-titik peluh pada wajahnya jelas menonjolkan beban yang ditanggung.

Barangkali di seberang laut sana, ada anak yang menunggu kiriman duit di hujung bulan. Barangkali juga di seberang laut sana, ada ayah dan ibu tua yang merasakan anak perempuan mereka bekerja sebagai pembantu rumah atau tukang sapu di negara orang. Tak menyangka yang anak mereka menjadi seorang "lelaki" pembina bangunan.

Betapa kau lihat pengorbanan seorang wanita. Menongkah arus laut melaka, semata-mata mencari wang yang entah berpatutan atau tidak dengan kerja yang dilakukan. Dan di hujung deretan itu aku memerhati anak bangsa aku berkumpul, di lengan mereka berlawan-lawan saiz gelang perak, bicaranya soal perjuangan kumpulan yang diwakili bangsa, sambil asap tembakau dari mulut meracun segenap ruang yang ada.

Saturday, 1 August 2015

#tangkapNajib

Jarang betul aku terlepas demo melainkan jika ada aral yang melintang. Untuk semalam, 1 Ogos 2015 aku tak dapat ke sogo sebab faktor jarak, duit juga masa. Jadi aku lepaskan perasaan dengan berdemonstrasi dengan tangan dan dinding.

Friday, 31 July 2015

Praktikum

Hari ni dah cukup sebulan aku menetap di Kuala lepeh. Setakat ni masih boleh bernafas walaupun bandar dia besar sikit dari cengkerang siput dan tutup sebelum sempat matahari tarik selimut tidur.

Smk seri lipis?

Sebenarnya sekolah ni memang bagus untuk manusia praktikum seperti aku, dengan jumlah pelajar yg sangat minimum di dalam kelas, tak nakal (puiiii!!) dan suasana yang kondusif sebab atas bukit. Tak panas bos! . Tambah lagi dengan wajah hensem aku hasil kurniaan Tuhan, maka tumpuan budak2 tak pernah terganggu.

Cuma satu je yang aku musykil, dengan takde industri besar, tiada pusat beli belah yang besar, ekonomi kelas ketiga yang sangat terhad tapi taraf hidup sini bapak mahal. Maka, hari-hari la kena masak sebab nak jimat.

Ok salam Jumaat raya ke 16.

Sunday, 21 June 2015

Hari bapa

Tahun ni hari bapa jatuh waktu umat islam baru merayakan ketibaan Ramadhan. Sepanjang hidup aku, hari ayah tiada erti melainkan bermula 5 tahun lepas.

Kalau kau tanya apa aku mahu ketika ini. Sejak 5 tahun lepas aku mimpi nak cium tangan ayah aku. Itu je mimpi aku yang pasti tak tertunai sampai aku mati

Sunday, 7 June 2015

Minggu patah hati

Setahun ini aku makin perlahan dalam soal politik. Salah satu faktornya adalah disebabkan rasa ralat dengan suasana semasa. Budaya label-melabel, ego menunjukkan mana lebih jantan hingga lupa fokus asal datangnya Islam iaitu untuk memakmurkan penghuni alam ini.

Seminggu lalu, aku sendiri bermasalah dengan masalah hati dan beberapa hari lepas majoriti pandangan mata penyokong dan penyokong  parti  islam semalaysia terpana dengan silau kekecewaan. Kecewa dengan keputusan muktamad yang sememangnya sudah dijangka.

Sejujurnya keputusan itu tidaklah membawa apa erti tapi kejadian sebelum, sewaktu dan selepas pemilihan muktamar PAS yang membuatkan rata-rata hati penyokong pakatan khususnya dari PAS retak dan pecah. Kejadian label, fitnah dan maki hamun terhadap golongan progresif merupakan suatu yang sangat ralat bagi sebuah parti Islam. Akhlak dan tutur budi Islam punah dalam masa yang seketika. Wajah PAS yang terbina sekian lama hancur dalam waktu seketika.

Tambah parah bila dewan ulama mengusulkan untuk menghentikan hubungan dengan parti komponen PR iaitu DAP. Ucapan Mat Sabu waktu penggulunggan aku kira walaupun bernada kecewa bukannya kecewa kerana kalah. Tapi kecewa dengan sikap rakan seperjuangan yang sanggup menikam belakang demi sebuah jawatan. Luka yang tersedia berdarah diperah pula dengan limau garam apabila usul dewan ulama diterima tanpa bahas. Segala usaha yang dibina sekian masa dalam menghubungkan segala parti pembangkang tanpa mengira kaum dan agama bagi melawan kejahatan umno musnah. Detik penyatuan yang kita alirkan air mata gembira beberapa tahun lepas mula berubah menjadi kenangan pahit untuk diingati.

Dihadapan kita rakyat dijamu bermacam jenis kebobrokan dan kejahatan politik pemerintah. Tak usah dibilang berapa, cukuplah sekadar menyebut barang satu dua seperti kes 1mdb dan bermacam lagi. Kegilaan demi kegilaan yang berlaku tenggelam dalam asyik pergaduhan perebutan jawatan dalam parti. Rakyat dibawah gelisah memikirkan isi perut hari esok, tapi dewa-dewi di atas pentas muktamar masih sibuk mencakar rakan sebelah.

dan hari esoknya...




Thursday, 4 June 2015

Puisi pulangkan hatiku

Setiap nafas yang mengalir masuk ke peparu
Setiap denyut nadi yang berdetik
Setiap kali jantung mengepam darah dan udara
Setiap kali itu juga hati ini menasbihkan kerinduan pada mu yang tercinta

Siang ku malap
Malam ku gelita
Jiwa ini sudah terlelap
Hanya dikau mampu mengejutkannya
Wahai bidadari utusan syurga
Kejutkan segera kejutkan dengan jiwa

Kembalilah manisku
Dikau yang meredupkan mata ku
Melemahkan sendi-sendi yang menongkat jasad
Menghentikan akal yang sedang berfikir
Merubah api hati menjadi salju perasaan
Yang mana kini mencair dalam panas keasyikan
Asyik membayangkan kasih mu manisku
Setelah aku kehilangan hati yang kau larikan

Sunday, 31 May 2015

Puisi Pengharapan

Seorang lelaki berdiri di bawah sepohon pokok
Sekali ke kiri ke depan ke belakang dan kekanan
Segunung resah berdiri di sampingnya

Lelaki itu kini duduk pula
Tangan kanannya ada sebatang pen
Tangan kirinya memegang sehelai kertas
Mencakar tulisan yang tiada seorang pun faham

Lelaki itu kembali berdiri
Senyum sambil memandang langit
Seakan memohon dengan penciptanya
Perlahan anggur merah mengalir dari mata
Jernih, sunyi tak bercahaya

Angin malam meragut sedar aku dari terus melihat lelaki itu
Dingin ditemani sejuta perasaan
Jam di tangan menunjuk angka tiga
Sesekali salakan anjing  seakan menghina
Entah siapa yang dimaksudkan dengan salakan itu
Sama ada dituju pada aku atau lelaki itu

ratib-ratib kenangan datang satu persatu
Wajah senyum dan ketawa itu menambah sunyi dalam jiwa
Setelah si dia tutup pintu gembira
Dia tabur pula dengan baja kecewa berwarna jingga
Lelaki itu menjilat kesemua apa yang dirasa
Pahit, pedih seperti binatang hina
Aku terus memerhati dengan khusyuk tanpa ada rasa
Sama ada mahu kasihan atau gembira
Kerana aku lelaki itu yang sudah tiada setitik rasa
Melainkan hanya pemimpi dengan cerita-cerita gila

Lari dari mimpi


Semalam aku nak lari naik gunung, tapi jalan jem sebab orang dah mula cuti sekolah. Aku pusing balik taman segar. Balik terus tidur. Pagi tadi aku ingat nak lari ke sabah, tapi member disana dah balik semenanjung. Akhirnya aku beli tiket kereta api ke kedah.

Aku nk susur balik setiap jalan yang aku pernah lalu dengannya. Mula dari Perlis hinggalah ke Penang.

Tuhan maafkan aku hamba mu

Saturday, 30 May 2015

"Jika segala ini cuma mimpi bagiku, Tuhan kau pejamkanlah mata ini buat selamanya. Aku mahu terus bermimpi kerana disana sahaja aku dapat menikmati senyum mu dengan sepuasnya." 

Lari

Dah hampir 24 sejak dia kata tidak, dalam tempoh itu juga dah banyak benda bodoh aku buat. Aku tak tahu nak luah dekat siapa, nak luah macam mana melainkan dengan menulis disini satu-satunya cara untuk aku tenang seketika.

Tuhan, kau tolong kuatkan hati ini. Aku masih ada tanggungjawab lain. Kalau benar, kau matikan saja jasad ini kerana jiwanya sudah dicuri.

Friday, 29 May 2015

Cerita 30/5/2015

Hari ini si dia ke Johor. Semalam buat kali pertama aku tinggalkan kawan-kawan dan pulang jam 3 pagi dari empangan Kuala Kubu. Sepanjang jalan aku berharap dilanggar. Mati akan memastikan segala rasa. Mematikan segala apa yang kita mimpikan. Tapi Tuhan adalah pemilik nyawa, aku masih diberikan nafas walau setiap sedutannya disertai seksaan jiwa.

Kematian berakhirnya sebuah perasaan

Tadi aku sumpah nak terjun dalam sungai kalau jawapan dia "ya". Tapi jawapan aku dapat sebaliknya. Aku rasa aku nak terjun juga. Terjun untuk selamanya. Selamat semua. Selamat

Thursday, 28 May 2015

Pulang

Wajah arwah ayah, senyum ibu berlari-lari di garisan ingatanku. Saat aku kecil, meningkat remaja dan mengalami dunia dewasa. Setiap waktu yang berjalan pasti ada catatan yang berwarna. Putih, hitam, merah mahupun kelabu kelam.

Betapa kasihnya seorang suami pada si isteri, taat dan setianya si isteri pada sang suami. Dan betapa sayangnya mereka pada Anak-anak yang naif tetapi nakal dan buas seperti aku.

Masih ingat aku waktu ibu sakit, bagaimana arwah menguruskan rumah. Berbulan lamanya. Saat hidup susah, bagaimana si isteri menjadi tiang sandar dalam membantu jurumudi melawan badai. Setiap cerita yang aku lihat,  aku rasa dan aku terima tetap segar dalam ingatan.

Dan semoga cerita kita nanti manisku tetap sama. Sama seperti cerita mereka yang mana moga aku pergi dulu dari mu.

Wednesday, 27 May 2015

Wajah

Hari yang menggembirakan bila hadir keputusan baik soal wang pendahuluan. Terima kasih kawan atas usaha engkau. Terima kasih atas segalanya.

Tapi kegembiraan itu tak sebanding dari menatap wajahmu. Entah apa alasan  untuk hari esok bagi aku melihat senyum itu, ketawa itu. Wajah kau manisku.

Hanya wajah ibuku mampu menandingi perasaan ingin melihat mu.

Monday, 25 May 2015

Hari hari ku

Hari ni dia memakai tudung merah, baju petak dan beg sandang yang dibeli sewaktu di Penang.

Hari ini aku bergurau soal masakan lagi. Persoalan yang sering mencabarnya. Entah, mungkin persoalan ini punca terbesar untuknya membenci aku.

Hari ini memerhati dari jauh lagi. Seperti biasa, lelaki di sekeliling dunianya membuat binatang yang hidup di dalam hatiku meronta. Tapi aku juga seperti biasa, bangun dan menghilang secara perlahan. Cukuplah senyumannya membuat marah ku jadi nyaman. Ketawanya pula membuat panas di langit berubah menjadi dingin yang tenang.

Hari pon berakhir berganti malam. Selamat malam manisku, si comel!

Si comel manisku

Setelah beberapa ketika, aku masih belum berani. Seperti biasa, diam dan merenung dari jauh.

Senyumannya. Ketawanya. Redup matanya. Semua itu seakan racun bisa, menikam setiap saraf yang ada. Mematikan akal dari memikirkan soal dunia.

Buat si comel, aku belum berani menulis Yes.  Cukuplah secawan kopi peneman saat memikirkan mu. Menuruti semua hajat mu. Dan terus mencabar kau agar aku boleh lihat keegoan dan kebencian dari dalam mata mu kerana di situlah punca perasaan aku bermula.

Aku binatang sepi,
Terpinggir dalam longkang lelaki
Dari hati mu yang dipahat dari bingkai permata...

Semalam malam manisku.

Friday, 22 May 2015

Soal hati

Bukan mudah nak puaskan hati semua. Bukan payah nak musnahkan gembira yang dah kukuh terbina lama.

Malam ini aku kembali menjadi aku, hanyut dan gila. Merosak diri, memusnah hati, mencabul fitrah.

Kita manusia ada kelemahan. Hati kecil. Mudah terasa. Mudah membuat orang susah. Orang jadi lawan selepas enak kita berkawan.

Tidurlah, sekurangnya di situ sekejap tenang

Wednesday, 20 May 2015

Bangsaku Melaju

Ada orang memandang kemampuan sesuatu bangsa dari segi ketamadunannya. Ada yang menilai dari sejarahnya. Ada yang mentafsir dari kemampuan kemodenan yang diwujudkannya.

Hari ini aku baca akhbar. Seperti biasa kisah ragut, rompak,curi,pecah amanah dan bermacam lagi jenayah ditulis. Apa yang menarik adalah kisah jenayah yang dilakukan bangsa aku sendiri. Kalau mencurinya, mencuri tabung masjid. Kalau pecah amanahnya, sekadar beberapa ribu ringgit. Kalau merompaknya, pasti dengan cara tradisional. Bawa senjata, rompak dan lari.

Aku selalu menonton filem barat. Bagaimana bijaknya teknik mereka mencuri. Betapa akademiknya perancangan mereka. Begitu juga dalam soal amaun kecurian, pasti tinggi. Tapi bangsa aku, jenayahnya macam main pondok-pondok. Merompak bank macam merompak kedai runcit.

Kadang aku fikir, jika dalam soal jahat pon tak gah untuk dilihat, apa lagi dalam soal lain. Bangsa kita tiada visi. Tiada bayangan masa depan. Tidak besar jiwanya.

Aku lihat TV yang sedang terpasang, melayu tengah berlakon sambil bercakap bahasa melayu campur inggeris. Watak anak dato yang kaya raya...


Kah kah kah, ini negeri orang gila. Orang politik tiada telinga, rakyat bisu sambil tadah tangan ucap syukur pada kerajaan. Tuhan, kau bukan siapa-siapa pada pandangan mereka melainkan ketika mereka susah.

Friday, 15 May 2015

Selamat hari guru

Esok 16 Mei 2015, malam ini aku lepak di kedai kebiasaan ku, kedai lampu.

Di Citra menyajikan filem mengenai pengorbanan seorang guru wanita Thailand yang mengajar seorang diri di pedalaman yang jaraknya 6jam menaiki perahu. Puncanya kerana melawan pengetua yang skema. Beliau percaya pendidikan tak mengenal batas sempadan kawasan, masa, tenaga, emosi, keluarga dan cinta.

Dengan sekolah daif, tiada bekalan letrik melainkan bateri yang dicas dengan jenerator, air dari tasik dan beberapa orang murid kampung.

Minggu pertama dengan pelbagai masalah. Antaranya kisah mayat hanyut ke sekolah botnya, rakan yang meneman pulang dan  beliau tinggal seorang diri meneruskan perjuangan mendidik anak bangsa.  Namun mengajar tetap mengajar. Jiwa pendidik tertanam kukuh dalam diri.

Dan aku, bermimpi dihanyutkan ke tempat seperti itu. Lari dari dunia dan mencorakkan pendidikan dengan cara sendiri, tanpa birokrasi, tanpa halangan dan tanpa batas peraturan pelajaran yang mengongkong guru serta pelajar untuk bersikap kreatif dan kritis dalam menjalankan pengajaran dan pembelajaran.

Terima kasih guru ku yang terdahulu. Kini dan selamanya aku murid mu. Dari aku, murid mu yang seberapa ketika lagi bakal menjadi pendidik. Penerus legasi kamu sebagai para penyampai wahyu Tuhan, mendidik umat ke arah kesedaran. Didik tetap didik, berpaling arah tidak sekali.

Selamat hari guru cikgu!

Thursday, 14 May 2015

Taktik jatuh buku

Hari ni seperti biasa aku ke pustaka kutip buku. Amalan yang aku amal dari sekolah menengah. Cuma dulu rajin meminjam dan membaca.  Sekarang rajin meminjam, malas membaca dan malas menghantar buku ikut masa.

Tapi bukan itu aku nak cerita. Kita selalu tengok dalam tv pasangan jatuh cinta saat buku jatuh dan kutip sama-sama. Dan hal itu hampir terjadi dalam hidup aku buat pertama kalinya hari ini.

Tapi dia punya klimaks tak seperti drama Melayu. Aku jatuh depan awek cun yang sedang berjalan melintas ruang depan aku, namun yang jatuh hati kat aku adalah awek cun yang dari tadi dok belakang aku belek buku. Nasib aku ni pernah ambil kursus pengurusan masa, jadi aku uruskan dua-dua sekali dengan baik.

Dengan selamber dia tanya biodata aku dari a sampai z sebaik saja awek pertama berlalu. Perlahan anak mata aku melirik ke awek pertama yang sedang berlalu pergi, perlahan tangannya melambai ku. Mata ku pada awek pertama telinga ku pada awek kedua.

Terima kasih Tuhan kau temukan madu mereka pada hari pertama mereka jatuh cinta padaku.

Orang bijak bodoh

Aku ingat makin pandai manusia makin berbudi bahasa dan santun lah ia. Tapi setiap hari aku jumpa makin pandai manusia makin celaka perangainya.

Dan mereka yang celaka ku jumpa adalah perempuan. Gelar Dr dipangkal nama, tapi bodoh dalam adab. Itu pun ada hati nak didik anak semua bangsa. Paling celaka yang orang cerdik bodoh ni dari baka Melayu. Malu bhaii!!!

Sunday, 10 May 2015

Masih Hari Ibu


Seperti biasa, setiap pagi isnin dan rabu aku akan lalu jalan yang sama dan memerhatikan seorang brother yang jual nasi lemak tepi jalan. Tapi yang tak biasanya pagi ni aku singgah nak beli kuih. Entah kenapa aku berhenti, barangkali Tuhan yang bukakan hati.

Aku beli kuih dua biji, dengan air teh panas sebungkus. Menariknya bila nak bayar dia tanya aku student ke pekerja Proton. Brother tu cakap, mak dia pesan kalau student jual air 80 sen, pekerja singgit.

Walaupun cuma 20sen tapi betapa Tuhan nak tunjuk kepada aku, tak kafirnya kalau kau sayang pada ibu mu sendiri. Kepala brother tu tetap berkopiah. Tetap meniaga di tepi jalan berdebu setiap hari. Kasih sayang pada ibu tak semestinya kau harus jadi kaya dan mampu memberi kemewahan. Cukuplah dengan taat pada arahan kebaikan dan melaksanakannya. Bagi manusia biasa, apalah sangat dengan 20 sen.

Tuhan itu Maha Kaya, Maha Mengetahui, Maha Mengerti. Lepas sehari ramai yang dikafirkan kerana Hari Ibu, pagi ini Tuhan tunjukkan kepada aku apa itu erti hari ibu. Tuhan, mengertilah aku betapa petunjuk mu datang dengan bermacam cara. 

Kain Pelekat.

Aku ada seorang member yang kawan-kawan panggil "hitam" walaupun kini rupa dia dah sedikit kelabu lepas guna pencuci muka.

Dia ni suka pakai kopiah, awek-awek semua kata dia ni muslimat pilihan. Pernah la jugak aku pakai songkok masa jalan dengan dia sebab nak raih pengaruh sama tapi silap sebab bapak-bapak awek kebanyakannya orang "BULAN".

Aku pernah sebilik dengan dia ni

Cacatan Hari Esok Selepas Semalam


Semalam aku salah seorang dari mereka-mereka yang merempuh pagar UM. Semalam jugalah aku dimaki caci. Bodoh! Tidak sedar untung! Memalukan Universiti! 


Semalam juga mencatat sejarah kembalinya Anwar Ibrahim ke UM. Tapi bukan itu yang utamanya. Bukan kembalinya Anwar yang perlu kita ceritakan, bukan pecahnya pagar yang harus kita banggakan. Cacatan terbaik semalam adalah apabila keberanian, kesungguhan dan kesatuan anak mahasiswa semua bangsa meluahkan apa yang terbuku di hati minda mereka selama ini. Saat pintu pagar dipecah masuk, saat itu juga roboh ketakutan yang selama ini memasung jiwa-jiwa mahasiswa sejak dipenjarakan bermula 1974.


Aura kesatuan rakyat mula naik kembali bila Anwar dijangka ke penjara.  Tapi cukupkah aura itu untuk bangkitkan jiwa seluruh rakyat malaysia? Jika seorang Anwar sudah sebegini, bagaimana pula jika kesemua pimpinan pembangkang ditangkap dan dipenjara dalam masa terdekat ini ? Adakah rakyat akan bangkit namun kembali lemau sebagaimana beberapa tahun selepas 1998?

Melihat kepada sejarah lalu, setiap kali ada kezaliman pasti ada rakyat yang bangun melawan. Namun sejarah semalam juga mencatatkan kebangkitan itu walau sebesar mana sekalipun pasti akan kendur sebelum sampai kepada matlamat tertingginya. Oleh itu kita perlukan sesuatu yang lebih besar dari sekadar isu subsidi, korupsi dan pelbagai lagi untuk bangkitkan dan lestarikan momentum itu. Jadi apa "sesuatu "  itu?

Melihat pada sentimen 1998 dan pengulangan sentimen 1998 dalam kempen #RakyatHakimNegara serta Solidariti penyokong PAS terhadap Presidennya dalam kes saman, kita harus percaya bahawa rakyat kita sangat tawaduk dan taat pada parti walau mulut kata benci. 


P/s-nasib baik aku takda keahlian mana-mana parti. walaweeeeehh!

selamat hari mak!

Selamat hari mak  Mak!

Walaupun aku tahu ucapan ini haram dalam bangsa melayu malaysia, tapi fatwa tu hanya berlegar di facebook dan wassap. Jadi aku ucap dalam blog.

Tengok aku aplikasikan Fiqh al-Waqi dalam soal menyambut sesuatu upacara.

Selamat hari ibu kat mak awak juga, si comel!

Tuesday, 10 March 2015

Kawan aku cakap

Kawan aku cakap, doa pon kita kata dia selamat. Dalam lagu pon kita dok menyanyi dia sentiasa selamat. Tapi dia memang dah selamat sebab makan tanggung berak cangkung. Yang tak selamat rakyat bulan April nanti bila GST mula berjalan. 

Ni kawan lain pula. Dia cakap soal tulah. Katanya "arghhh!!! tipulah daulat. Daulat pebende. Kalau betul, dah busung semua perut kome semua sebab hari-hari dok maki setan.

kah kah kah. Selamat malam.