Sunday, 31 May 2015

Puisi Pengharapan

Seorang lelaki berdiri di bawah sepohon pokok
Sekali ke kiri ke depan ke belakang dan kekanan
Segunung resah berdiri di sampingnya

Lelaki itu kini duduk pula
Tangan kanannya ada sebatang pen
Tangan kirinya memegang sehelai kertas
Mencakar tulisan yang tiada seorang pun faham

Lelaki itu kembali berdiri
Senyum sambil memandang langit
Seakan memohon dengan penciptanya
Perlahan anggur merah mengalir dari mata
Jernih, sunyi tak bercahaya

Angin malam meragut sedar aku dari terus melihat lelaki itu
Dingin ditemani sejuta perasaan
Jam di tangan menunjuk angka tiga
Sesekali salakan anjing  seakan menghina
Entah siapa yang dimaksudkan dengan salakan itu
Sama ada dituju pada aku atau lelaki itu

ratib-ratib kenangan datang satu persatu
Wajah senyum dan ketawa itu menambah sunyi dalam jiwa
Setelah si dia tutup pintu gembira
Dia tabur pula dengan baja kecewa berwarna jingga
Lelaki itu menjilat kesemua apa yang dirasa
Pahit, pedih seperti binatang hina
Aku terus memerhati dengan khusyuk tanpa ada rasa
Sama ada mahu kasihan atau gembira
Kerana aku lelaki itu yang sudah tiada setitik rasa
Melainkan hanya pemimpi dengan cerita-cerita gila

No comments:

Post a Comment