Tuesday, 13 October 2015

Dari islam dia memeluk melayu(pangkat)

Hujan turun dengan lebat semalam. Aku kuyup kebasahan meredah hujan dengan motosikal buruk.

Sebaik sampai aku capai tuala. Segelas kopi aku panaskan. Lalu aku tatap perlahan-lahan gambar yang dihantar.

Oh rupanya mereka sudah bersatu. Berpeluk senyum.

Untung la pemimpin, di kala hujan datang, mereka berpeluk gembira, pasti panas.

Kita rakyat, banjir besar yang datang sekalipun, basah tetap basah. Lapar, susah dan resah. Tiada yang ingin memeluk kita melainkan sampai suatu masa, kita dipanggil untuk memberi undi percaya pada mereka.

Puisi atas motor

Tadi atas motor, waktu  dalam gelap dan di langit pancaran kilat sesekali bercahaya. Gugusan bintang tiada malam ini. Barangkali hujan mahu turun.

Aku baca puisi yang terlintas dalam fikiran. Melaung - laung seorang diri. Tapi aku hampir lupa kesemua perkataan yang aku sebut melainkan satu rangkap

"setelah kau rampas segala hak kami,
Kau paksa pula kami taat dan patuh padamu,
Tiada upaya kami melawan
Sesudah itu kau hilangkan akal kami,
Kata kau bukan tugas kami memberi pendapat
Lalu kau suruh kami mengaku 'tuan, kau itu tuhan',
Dalam samar-samar kau melompat dan kami melihat
Oh..  Rupanya kau itu yang berhormat "

Monday, 12 October 2015

Kepura-puraan

Hari ini mahathir dan panglima-panglima dia buat sidang media. Misi sama, nak jatuhkan Najib. Walaupun aku benci dahi licin dan bibir merah tu, tapi aku rasa benda ni tak sebesar apa yang kita masih nampak. Sebenarnya ada benda lebih besar dari itu.

Entah la apa yang menjadi matlamat sebenar kem masing-masing. Tapi yang pasti nasib rakyat tengah dijadikan kepingan cip judi dalam pertaruhan dua puak paling jahanam dalam negara kita sekarang ini.

Dalam masa sama, pembangkang masih asyik diulit dengan perang saudara yang tak nampak jalan keluar lagi. Seolah-olah apa yang berlaku pada hari ini seperti dirancang iaitu kesan dasar pecah dan perintah. Bukan pecah dan perintah yang berlaku waktu British, tapi kaedah yang hampir sama dalam zaman yang berbeza. Melaga-lagakan pihak yang perlu bersama rakyat bagi memudahkan mereka meneruskan perang dalam kalangan warlord-warlord kapitalis Malaysia.

Entah bila akan berakhir perkara ini. Cuma apa yang aku masih boleh syukurlah di tengah-tengah situasi ini adalah rakyat negara kita tidaklah se-ekstremis negara luar. Walaupun ada yang menganggap ketenangan rakyat dalam menerima permainan politik ini sebagai satu kebodohan, namun ianya tetap aku anggap satu rahmat.

Bayangkan jika rakyat kita ini terlalu terpengaruh. Tidak mustahil kita bakal menjadi seperti dunia Arab. Bergaduh dan berbunuhan.

Setakat ini aku hanya mampu memerhati. Sebagai rakyat yang belum pernah mengundi, apa yang mampu ku buat hanyalah berdoa semoga ada kelapangan buat kita semua di kemudian hari.

Semoga kita semua di dalam kebenaran

Saturday, 10 October 2015

Kerana BABI

yah, alam ini cantik kan?
ya cantik

yah, babi tak cantik kan?
ya babi tak cantik

yah! yah! nape hutan tu gondol
oh..itu mungkin ada babi yang sondol nak

yah! yah! nape jalan tu pecah-pecah
oh... itu mungkin laluan lori babi nak

yah! yah! nape langit kita berdebu
oh... itu mungkin babi sedang berzumba

yah! yah! nape laut itu merah
aghh! banyak soal kau ini anak.

jamal, kumpul orang kampung
ini kali babi kuning kita guling

Untuk kau Ardy

rindu kami
padamu 
tak pernah 
mati 
begitulah 
harapnya
pada
janji
menunggu
kami
di syurga nanti
Ardy

Friday, 9 October 2015

Suhaily

"For as long as I can remember, I've been searching for some reason why we're here, what we are doing here, who we are? If this is a chance to find out even just a little part of that answer, I think it's worth a human life, don't you?"- (watak Ellie Arroway dalam filem contact, 1997)

Perlahan air mata jernih gugur dari tempayang mata sebaik selesai membaca surat untuk gebe. Menangis bukan kerana tulisan-tulisan itu tetapi membayangkan satu persatu peristiwa yang berlaku akhir-akhir ini. Di luar hujan gerimis masih tidak berhenti. Jerebu yang sudah sebulan lebih bebas berkeliaran semuanya musnah dalam hujan yang beberapa jam. Lebur menjadi debu basah dan mengalir perlahan ke dalam longkang sebelum mencemarkan sungai yang sudah sedia kelam dengan sisa keladak dari lombong-lombong emas haram.

Masih tergiang-giang suara esak tangis sambil terketar-ketar memaklumkan berita sedih.
 "Di, prof dah tiada, kaki aku patah". 
Beribu kali suara itu bermain di dalam kolam fikiran ku. Kenangan lama satu persatu datang melawat hati. Suara lemah lembutnya yang lebih kepada seorang bapa daripada seorang pensyarah, menikam hati kerasku menjadi lemah dan lembut seumpama tilam kapas baru. 

Prof, kami rindu padamu.... 


Thursday, 8 October 2015

Berita sedih lagi

Malam ini aku dapat lagi berita duka. Kali ini dari kelantan. Seorang pensyarah merangkap bekas dekan juga ayah bagi murid-muridnya telah pergi menghadap ilahi. Seorang yang periang, serius dengan kerja, mudah beriteraksi, sangat menghormati pendapat orang lain dan lelaki melayu sejati. Perginya sewaktu dalam tugasan sukarelawannya yang hampir setahun sudah berjalan. Membantu mangsa-mangsa banjir di Kelantan terutamanya di Kuala Krai dan Gua Musang. Entah apa lagi nak dituliskan, sesungguhnya Arwah pergi dalam keadaan sangat mulia, dalam tugas untuk keharmonian manusia.

Terasa sayu. Belum kebah dari kejutan Arwah Ardy yang pergi mengejut seminggu yang lalu, hari ini berita sedih baru pula menyusul. Berehatlah Prof Suhaily, sesungguhnya nasihat, pesan, ilmu dan janji-janji yang prof semai dalam diri kami akan menaungi perjuangan prof. Semoga arwah digolongkan dalam kalangan yang beriman dan dirahmati ALLAH S.W.T.


Penjara ilmu

Banyak benda yang membuatkan kerjaya guru makin hambar. Salah satunya nilai kebebasan yang sepatutnya menjadi teras dalam pendidikan telah dibangkul sampahkan oleh para pegawai tadbir diplomatik yang menjadi atasan di daerah pendidikan.

Bersatulah para pendidik. Ilmu itu hak semua. Perjuangan kita adalah membebaskan ilmu dari penjara birokrasi

Dialeg

Sebenci-benci aku pada orang luar yang cuba mengajuk dialeg Terengganu, lagi benci aku pada orang yang dok sohoo nok speaking england bila duduk dalam kelompok Melayu asli.

Ceritanya begini....

Dia mari kat ambe, sambil kibah-kibah baju, dia pon speaking nak tanya sesuatu. Ambe tengok muka keruh je, nyer mari lalu mikir dalam paler, "jong ni mari duane?"

Belan-belan jawab soalan, ambe try la tanya. Dengan slang kl ambe soal, "habis itu, awang ini asal dari mana?"

Dalam paler ambe masa tu dok teke doh, "orang keyel ni napok pada gayer"

Spontan yer jawab "jenagor"

Kejut ambe. Belan tu ambe tanya sekali lagi "mana?". Konon-konon ambe dok dengor la tadi

Dengan konfiden yer jawak  "jenagor dude"

Kerah perut ambe suke. Owoh mu awang, orang jenagor. Hulu lagi dari Ulu pueh. Tapi nyer tengok pada gaya dok Saboh lasung. Sakit tayar ngoh mu jong.

Jenis ni orang tranung royak "kemang mulut". Ikot mu la awang, asal bahagia sudoh.

Bak kata eman manang, "orang tranung ni macam penyu, jauh mana pon dia gi, sapa masa dia akan balik telur jugok di pantai tranung. Begitu jugok orang tranung, jauh mana dia gi, akhirnya negeri sendiri gok hok sedak"

Bereh awok-awok iter. Beng ambik series dengan cerita ni, ambe gura. Orang jenagor beng berasa hati ehhh

Tuesday, 6 October 2015

Gila lagi

Pernah atau tidak suatu hari kau membayangkan yang kau bakal dipenjara, duduk dalam kurungan bersaiz 6x7 kaki, dengan bau busuk tandas menjadi teman siang dan malam dan makanan harian kau lebih hina dari sepinggan longgokan sampah.

Pernah atau tidak kau membayangkan yang kau tiada apa-apa. Dihina keji manusia sekeliling. Merempat dari satu tempat ke satu tempat mencari nikmat. Menyelongkar sampah demi sesuap nasi basi untuk mengalas perut. Lalu tangan kau menadah ke langit dan cukuplah keampunan Tuhan yang kau harapkan. Nikmat senang dan kekayaan sudah kau kambus dalam-dalam dari mengisi ruang hati kau sendiri.

Pernah atau tidak kau membayangkan yang kau diberi pilihan sama ada untuk mati atau menjadi Gila. Lalu apa yang akan kau pilih.

Pernah atau tidak kau membayangkan apa yang aku bayangkan?

Pernah atau tidak kita mempunyai sebenar-benar perasaan atau kita selama ini hanya mengikut hawa nafsu.

Noktah.!

Tak usah disesalkan
Tak usah dinanti
Kerana diri kau seorang
Sejuta aku terlepas pandang

Bumi Tuhan amat luas
Diisi dengan makhluk lemah
Berkenal dengan kasih dan iman
Jika ada cinta kita kabulkan saja
Tak usah lagi berutus surat
Bimbang dijalanan itu ada lencongan tak terhormat
Cukup saja kau aku yang merasa
Tiada lagi titik celaka yang dipanggil ketiga
Noktah......

Rimba hitam

Sambil melihat pokok pinang itu terhuyung-hayang digoyang oleh angin yang bergembus bersama guguran hujan, aku mengingati wajahnya. Di corong radio, suara Suhaimi Meor Hassan mengalunkan epilog cinta dari Bromley. Di hadapan ku masih teralun-alun asap kopi hitam yang mengalir dari bibir cawan.

Manisku, semalam aku melihat reaksi mu dari jauh sewaktu kau menerima hadiah itu. Hadiah dari seorang manusia yang aku tidak tahu asal juga tujuannya. Tapi wajahmu menjawab segala pertanyaan ku. Wajah yang aku gaul dengan kerendahan hati ku setelah kau mendirikan tiang ego secara harmoni.

Sekarang ini, satu demi satu cebisan tulisan  yang penuh dengan perasaan aku bakar. Biarlah segalanya menjadi abu. Setelah cinta yang aku tanam, kau taburkan dengan racun hingga menjadi arang hitam. Pekat dengan kepedihan.

Monday, 5 October 2015

Bin atan-g

Pagi ini bening sekali. Jerebu masih menguasai langit kami, jagat raya  Malaysia. Sekolah diarah tutup selama dua hari. Ada wajah suka yang berlari di teratak mataku semalam. Gembira kerana mampu pulang ke kampung halaman.

Halaman buku itu perlahan-lahan aku buka. Dari lembar pertama ke lembar seterusnya, segelas kopi pahit yang kehilangan deria panasnya masih berbaki setengah. Perasaan bahagia seakan terpadam dari diri aku setelah melihat  sikap mereka yang aku sayang sehari dua ini. Ada jiwa yang sudah mati, dan ada jiwa yang bakal mati. Di garisan perlawanan yang aku sendiri cipta, aku sendiri kecundang. Hanya kau wanita, aku kini jadi terbuang. Berdoalah agar aku tidak menjadi binatang jalang