Tiap tahun, tiap ogos
Budak-budak itu kau kerah
Kau arah mereka pacakkan bendera
Dan di langit matahari merah meranah mata
Manik peluh membasahkan baju putih
Seragam rasmi manusia bernama murid sekolah
Di hujung sana, di dalam bilik biru warnanya
Beberapa orang pengarah tenaga murid sedang ketawa
Mengajar merdeka tapi sebenarnya mendidik jiwa hamba
Tanpa sedar, sinsingan lengan baju merdeka dulunya kini sudah tiada.
Merdeka!!!
Tuesday, 25 August 2015
Merdeka kah hamba
Sunday, 23 August 2015
Anak China naik perahu
Sedang mendayung hujan Gerimis
Hancur hati orang tak tahu,
Mulut tertawa hati menanggis.
Pulau makasar tempat berteduh
Tumpuan dagang para santri
Jika tersurat tiada jodoh
Apa diharap cinta tak pasti
Hujan Gerimis membasuh bumi
Mencuci daki darat lautan
Sudahlah nasib miskin begini
Tiada seorang mahu berkawan
😢😢😢
Sudikah kau membaca....
.....Selepas puas makan
aku menyanyi
selepas puas menyanyi
aku membaca
selepas puas membaca
aku minum
selepas puas minum
aku kembali mengulang kesemua rutin diatas
akhirnya aku tidur
esoknya bangun melakukan cerita sama
demi memadam cerita lama kita
cerita yang kau koyak selepas aku tulis seindah rasa
terima kasih manisku.
esok aku cuba menulis kisah yang baru
harap kau sudi membaca.......
Sambungan "sudikah kau membaca" yang aku tulis setahun lalu khas untuk mu. Setakat ini tiada lagi yang membacanya selain kau. Koyaklah kertas itu semahu mu. Asal tidak hati yang satu ini.
Cerita Praktikum aku di Seri Lipis
Jawab mereka
"aman cikgu"
"takde perang"
"dapat makan McDonald"
"Keh takpayah makan ubi kayu hari-hari"
Aku tanya lagi, Siapa Agong pertama. Dia dari negeri mana? Dengan pantas suara-suara langau berbunyi.
"Perak!! Sultan Pahang!!! Raja Serawak!!"
Gila budak-budak ni. Nak kata anak Vietnam hanyut tahun 70-an, muka semua melayu tambah dua orang anak India dari ladang Selbone yang sebelah je dengan Felda Kechau.
dan kau tahu apa jawapan mereka kali ini?
"ZETI AZIZ cikgu agong pertama!!!"
entah apalah mak bapak kau bagi baca kat rumah. entah apa juga cikgu-cikgu kau sebelum ini ajar. Kasihan anak bangsa aku.
Tak seindah wajah.
Ahad-23 Ogos 2015
Hari ini aku buka mata jam 8.45 pagi. Subuh aku hanyut buat kali kedua. Kali pertama sehari sebelum itu setelah sekian lama aku jaga diri.
Dari luar tingkap, masih berkabus tempat ini seperti kebiasaan paginya. Tanah pilihan kolonial suatu ketika dahulu. Jangkaan aku suhunya waktu dahulu pasti lebih sejuk. Masih segar dan selamat dari tercemar angkara manusia iblis.
Jam 9 telefon berbunyi, suara famy mengingatkan kenduri tahlil dirumahnya jam 12. Aku ke kedai mencari nasi lemak. Semua habis melainkan beberapa biji kuih. Pusing balik rumah masak meggi.
Sudah makan aku kejut semua, siap-siap kita nak pergi makan-makan. Dalam hati, hari ni aku masih boleh memandang wajahnya. Senyum sangat manis seumpama tebu dan ketawanya mampu membuatkan kau tidak tidur malam seminggu.
Sampai di majlis, orang tengah tahlil. Aku buat muka selamber sambil senyum dekat bapak dan duduk di beranda kerana ruang tamu sudah penuh. Raub sangat panas jika nak dibandingkan dengan Lipis.Berpeluh jugak aku sambil meratib. Satu lagi panas sebab dah tak sabar nak makan. Bau tempoyak patin menusuk-nusuk usus perut.
Sebaik selesai tahlil, semua bangun menuju ke tempat makan. Waktu itulah si dia keluar sambil menatang apa benda entah. Tapi aku tak nampak mukanya melainkan sisi belakang.
makan.......
selepas sejam, aku tumpang solat di bilik fizi, Hajat nak melepak. Tak sampai 10 minit tetamu entah dari mana datang, penuh semua ruang rumah. Aku apa lagi, jumpa bapak, senyum-senyum dan salam cium tangan. Saya balik dulu
balik la aku dalam keadaan kempunan.....
lagu tak seindah wajah aku dengar dalam kereta waktu balik. Perghhh, betul-betul menusuk kalbu,
Thursday, 13 August 2015
Duit yuran kem latihan
Semalam aku buat spotcheck asrama lelaki sebab kebelakangan ini jumpa banyak sangat puntung rokok dan ramai budak yang bawak henpon ke sekolah. Biasalah, sekali serbuan dilakukan, berguni barang rampasan yang diperolehi.
Tapi bukan itu yang aku nak cerita. Semalam, sedang aku selak tilam pada suatu katil, aku jumpa helaian-helaian kertas yang bertulis. Sangkaan pertama, "tak lain ni mesti surat cinta". Apa lagi, aku dah mula senyum dan perlahan baca. Sambil tu aku kritik penulisnya, apa benda surat cinta tak bau bedak. Tak rare langsung budak ni.
Tapi sangkaan aku meleset, rupanya surat itu merupakan cebisan rayuan seorang pelajar yang mewakili rakan-rakanya kepada guru agar nama mereka dipotong dari mengikuti kem anjuran sekolah. Punca sebab duit. Antara alasan yang diberikan ibu bapa mereka orang sudah. Yuran kecemerlangan yang berharga rm250 pon belum habis lagi dilunaskan, kini yuran kem sebanyak rm100 pula perlu dibayar. Dinyatakan pekerjaan ibu bapa, bilangan anak dan gaji bulanan.
Tapi entah kenapa surat itu masih ada dengan pelajar. Kenapa tidak dihantar kepada guru. Tarikh yang tertulis adalah beberapa bulan yang lepas.
Aku pernah jadi pelajar, dan aku faham betapa peritnya kita nak memohon wang dari bapa. Mungkin para guru perlu bijak dan sedar yang semua pelajar kita tidak mempunyai ibu bapa yang bergaji seperti seorang guru.
Sunday, 2 August 2015
Bangunlah bangsa wanita
Hari ini aku berjalan menyelusuri bandar lama Kuala Lipis. Deretan kedai lama seakan menarik aku kembali ke zaman kolonial. Jauh di atas bukit di sebalik pekan kecil itu, megah berdiri bangunan binaan kerajaan British yang mana kini menjadi pusat pentadbiran kerajaan.
Di hadapan sebuah kedai gunting rambut, dalam keadaan asap kenderaan yang memeritkan tekak dan memedihkan mata aku melihat para pekerja asing sedang mengubahsuai bangunan lama. Barangkali untuk dimodenkan gaya bangunan itu agar akur dengan perubahan zaman.
Dibalik para pekerja itu, terselit seorang ibu yang menjadi salah seorang tenaga kerja. Aku jangkakan usianya lewat 40-an. Di tangannya ada besi dan kerjanya mengikat besi konkrit agar selari dengan acuan. Di langit, matahari menyimbah bahang panasnya tanpa belas. Titik-titik peluh pada wajahnya jelas menonjolkan beban yang ditanggung.
Barangkali di seberang laut sana, ada anak yang menunggu kiriman duit di hujung bulan. Barangkali juga di seberang laut sana, ada ayah dan ibu tua yang merasakan anak perempuan mereka bekerja sebagai pembantu rumah atau tukang sapu di negara orang. Tak menyangka yang anak mereka menjadi seorang "lelaki" pembina bangunan.
Betapa kau lihat pengorbanan seorang wanita. Menongkah arus laut melaka, semata-mata mencari wang yang entah berpatutan atau tidak dengan kerja yang dilakukan. Dan di hujung deretan itu aku memerhati anak bangsa aku berkumpul, di lengan mereka berlawan-lawan saiz gelang perak, bicaranya soal perjuangan kumpulan yang diwakili bangsa, sambil asap tembakau dari mulut meracun segenap ruang yang ada.
Saturday, 1 August 2015
#tangkapNajib
Jarang betul aku terlepas demo melainkan jika ada aral yang melintang. Untuk semalam, 1 Ogos 2015 aku tak dapat ke sogo sebab faktor jarak, duit juga masa. Jadi aku lepaskan perasaan dengan berdemonstrasi dengan tangan dan dinding.
