Thursday, 9 June 2016

Episod Tarawih 2 (2016)

Pelita ini antara perkara penting yang dibawa aku setiap kali terawih masa kecik-kecik dulu. Selain itu ada mercun dan duit seringgit.  Dahulu orang kampung tak ramai yang ada kenderaan melainkan motosikal, maka menjadi kelaziman untuk berjalan kaki ke masjid atau surau berdekatan. Kami budak-budak turut ikot serta sebab di rumah tiada orang.

Pelita ini sebenarnya bukan berfungsi sangat untuk menyuluh jalan, melainkan sifat budak-budak yang suka bermain. Kebiasaannya, sebelum naik ke surau, pelita dan mercun akan disorok dalam rumpun pokok bunga. Bila selesai solat Isyak dan orang dah mula solat tarawih, kami pula akan turun. Sebelum turun, kami bedal sikit kuih atau buah yang orang bawa untuk moreh.

Seingat aku, di seberang jalan surau ada kedai runcit cina. Di situlah biasanya duit bekal yang dibawa dibelanjakan. Siang hari tak boleh membeli sebab puasa. Sambil makan, kami main mercun. Tapi kedua itu dah terbakar lebih kurang 10 tahun yang lalu. Bila dengar bilal dah masuk rakaat terawih yang terakhir, masing-masing berlari ke surau. Berlakon kononnya tadi ikut serta berterawih.

Lepas b'buke
9/7/2016

Tuesday, 7 June 2016

Songkok dan kopiah.

Songkok merupakan pakaian tradisi lelaki Melayu di kawasan Nusantara. Imej bersongkok ini dapat dilihat pada pakaian tokoh-tokoh terdahulu contohnya Tunku Abdul Rahman di Tanah Melayu dan Soekarno di Indonesia. Ada yang memakai songkok ini secara lurus dan ada yang senget sedikit ke tepi kepala. Kebiasaannya songkok ini dikenakan  dengan pakaian baju Melayu.

Bagi aku, songkok bukan perkara yang pelik. Dari tingkatan 1 hingga 5, songkok menjadi seragam penting persekolahan  kerana aku merupakan pelajar sekolah agama. Menjadi kewajipan untuk pelajar lelaki bersongkok. Namun, di luar waktu sekolah aku lebih senang mengenakan kopiah berbanding  songkok. Hal ini disebabkan oleh sentimen politik ikut-ikutan yang aku pegang ketika itu.

Dalam dunia politik orang Melayu, songkok disinonimkan dengan  orang UMNO dan kopiah itu PAS. Penutup kepala menjadi tanda pengenalan politik. Pernah terjadi dalam hidup di hadapan mata saya sendiri, seorang imam ditolak untuk menyampaikan khutbah hanya  kerana beliau memakai songkok. Sedangkan kualiti penyampaian khutbahnya saya anggap baik. Begitulah kuatnya sentimen politik dalam kehidupan masyarakat Melayu terutamanya di kawasan pantai timur semenanjung.

Tapi kini imej songkok kopiah ini bukan lagi se ekstrim dahulu. Ini dibuktikan dengan imej perdana menteri kita yang kadang berjubah dan berkopiah sewaktu berqasidah bersama  habib. Begitu juga di parti seberang, pimpinan PAS ada yang sudah mula menggunakan imej bersongkok. Muktamar yang baru seminggu berlalu menjadi buah mulut kedai kopi apabila ada pimpinan yang lengkap berbusana Melayu yang mana dulu dianggap itu sebagai assobiyah.

Entah kenapa boleh berubah itu saya tidak pasti. Barangkali yang satu mahu menunjukkan  imej islamnya di samping ketuanan melayu dan  satu lagi mahu menonjolkan sifat Melayu disebalik nilai ortodoks islam yang dipegang sekian lama. Cuma yang pasti, parti politik mana yang tak mahu mengejar undi. Begitulah lumrah manusia, berubah-ubah mengikut apa yang dikejar oleh hati.

Ditulis sementara menunggu orang membeli. Beginilah nasib kaum lelaki.

Monday, 6 June 2016

Episod Tarawih 1 (2016)

Tarawih ini membawa maksud berehat-rehat.  Perkara ni disebut oleh imam kampung saya beberapa tahun dahulu. Dipesannya jangan tergesa-gesa mengejar yang banyak sedangkan kualiti tiada.  Malam besoknya dia aplikasikan maksud tarawih itu sepenuhnya. Setiap selang antara dua rakaat, ada tazkirah. Selang empat rakaat ada rehat separuh masa. Masa itu siap ada yang ke kedai membeli rokok dan air. Malam tersebut tarawih yang cuma 8 rakaat berakhir jam 12. Masa balik, semua tersenyum-senyum. Sekadar berkongsi kenangan sempena Ramadhan.

Esoknya, aku cari masjid lain.

1 Ramadhan 2016
Jam 10.05 malam

Saturday, 28 May 2016

Surat-surat untuk tidak dibaca manisku - 2

Semalam dinner terakhir kami. Petangnya dia kusut ketiadaan baju. Maghrib aku kusut memikirkan persediaan di dewan dan dia hilang. Malamnya dia datang dengan pakaian hitam biru. Semua mata tertumpu.

Malam ini dia memakai kerudung merah jambu.  Pintu kereta dibahagiannya tiba-tiba rosak. Terima kasih pintu. Kami berbual bual. Lama. Mungkin ini yang terakhir kali. Tapi itu berdoa uji bukan yang terakhir kali.

Esok, masing-masing akan membawa diri. Pergi. Entah berjumpa atau tidak lagi. Cuma satu, cinta aku kan kekal ku tanam di situ walau seribu tahun lama lagi harus aku menanti. Selamat malam cinta.

Sunday, 22 May 2016

Manis
aku ini punya hati
yang aku bimbang
aku bimbang ia mati
saat itu kau tiada disisi.

Saturday, 21 May 2016

Surat-surat untuk tidak dibaca manisku - 1

Salam matahari pagi ku.

Hari aku menulis sedikit lewat, sekitar jam 3.16 pagi. Tadi malam aku melihat mu. Berbaju merah jambu. Di keliling kita di dewan itu ada beratus wajah menggoda. Namun, mataku tetap untuk mu. Aku pergi atas rasa cinta dan aku merasa setiap saat kau berada dekat denganku adalah sesuatu yang bukan sia-sia. Sengaja aku memilih kerusi yang banyak kosong di suatu posisi dewan itu. Aku membayangkan kau melihat dan perlahan datang duduk di samping ku lalu kita berbual soal persembahan di depan sambil ketawa.

Tapi itu mustahil. Seperti statusku, mengejar sesuatu yang mustahil. Dan realitinya mustahil itu telah berlaku. Kau kekal berdiri sambil dikelilingi teman-teman mu. Terima kasih sebab memberi aku sedikit masa untuk menegur mu. Bagiku itu sudah cukup membahagiakan. Aku ini hanya binatang jalang, tak layak untuk kau beri perhatian. Cukuplah sedikit teguran, bagiku itu sudah syurga. Selamat malam cinta!

Cinta cinta cinta cinta
Cinta Cinta cinta cinta
Cinta Cinta cinta cinta
Cinta Cinta cinta cinta
Cinta Cinta cinta cinta
Cinta Cinta cinta cinta
Cinta cinta cinta cinta
Cinta Cinta cinta cinta
Cinta Cinta cinta cinta
Cinta Cinta cinta cinta
Cinta Cinta cinta cinta
Cinta Cinta cinta cinta

Seribu tahun aku setia menunggu.

Thursday, 19 May 2016

Dimana tuah akan dicari,
kalau tidak mendera diri,
Ke mana kasih hendak dicari,
Kalau tidak si dara sendiri.

Lang terbang di langit langkawi,
berbunyi guruh bersahut-sahutan, 
yang hilang harus dicari,
yang jauh patut diturutkan.

Que sera sera. 

Sunday, 15 May 2016

Perutusan Hari Guru 2016

Banyak waktu, tenaga dan wang kita telah bazirkan demi sesuatu yang kita anggap sebagai kejayaan. Hal ini terlintas dalam penat aku menyusun susunan kata yang dikatakan tidak indah olehnya. Indah yang bagaimana itu aku belum dapat takrifkan, kerana pendapatnya sentiasa berbeza setiap kali kami berjumpa dan berbincang. Dia ku anggap benar setiap kali itu kerana sistem yang dibina sekian lama telah menjadikannya sentiasa benar. Kami para murid hanya boleh mengakui kesilapan yang mana sebenarnya kesilapan itu sendiri merupakan ajarannya yang terbesar.

Ini sebahagian kisah yang saya pasti dilalui oleh kebanyakan para pelajar. Kebebasan berfikir, berkarya, berhipotesis dengan pendapat dan berargumentasi telah dihalang atas nama guru itu maha benar. Berapa ramai diluar sana para pendidik yang gagal menghayati makna asal mendidik. Yang dilakukan oleh mereka setiap kali bertugas adalah memasukkan data secara paksa atau sukarela. Jika sukarela, itu murid skema dan penakut. Jika paksa, maka ada murid yang akan tertinggal dan menjadi bodoh.

Pilihan-pilihan yang diwujudkan hasil daripada sikap ego dan maha tahu ini perlahan-lahan akan merencatkan pembangunan sesuatu bangsa. Ramai orang yang bercakap soal ketamadunan, tapi dalam waktu sama dialah yang menjadi watak-watak yang meracun nilai keilmuan. Negara memerlukan rakyat yang mampu berfikir secara rasional,objektif dan bijaksana yang mana hanya boleh wujud apabila kemerdekaan untuk berfikir, kebebasan untuk bersuara dan kebudayaan ilmu telah wujud. Keperluan-keperluan ini penting kerana anak muda yang kini sedang kita robotkan pada hari ini itu nanti akan menjadi penentu kepada hala tuju negara.

Proses pendidikan bukan sekadar menyampaikan data-data yang dipanggil ilmu tetapi ianya melibatkan suatu proses hubungan antara guru, pelajar, method dan persekitaran. Method yang baik adalah apabila proses mendidik itu memberikan peluang kepada murid untuk mengungkapkan apa yang diketahui atau tidak diketahui. Kebebasan berfikir dan method yang fleksibel ini akhirnya akan membawa murid menjadi lebih kreatif, bukannya melahirkan jiwa-jiwa pelajar yang mati. Keseronokan kepada ilmu adalah jalan mudah kepada kaedah mendidik. Pada waktu itu, kita tidak perlu lagi bermotivasi-motivasi yang mahal. Ada lebih baik, duit itu dilaburkan kepada perut kosong murid di waktu pagi.

Sampai satu masa, guru-guru harus sedar dan melawan apa yang sudah kita pegang selama ini. Murid kita itu selalu dipangkal depannya kita panggil dengan istilah 'anak'. Maka sesuai dengan itu, kita harus bertanggunjawab untuk merealisasikan keperluan sebenar dalam dunia pendidikan. Melaksanakan perkara-perkara yang membawa kepada kebudayaan pemikiran dan kebebasan untuk berfikir adalah tanggungjawab kita semua.

Kesimpulannya, apa yang boleh kita mengertikan adalah manusia itu mempunyai akal dan hati. Manusia itu adalah penguasa keatas dirinya, dan menjadi fitrah untuk manusia merdeka dan hidup bebas. Akhirnya,
“Guru yang tak tahan kritik boleh masuk keranjang sampah. Guru bukan dewa dan selalu benar. Dan murid bukan kerbau.” (Soe Hok Gie)

Selamat hari guru 2016. #GuruPembinaNegaraBangsa
Mohd Asmadi
1.35 a.m
16/5/2016

Sunday, 8 May 2016

Cinta

Aku melihat banyak kisah cinta yang indah secara realiti. Lebih indah dari dalam filem cinta. Orang-orang di sekeliling ku.
Aku tidak mengerti perasaan kehilangan orang yang kita cinta untuk selamanya. Tapi aku memerhati mereka yg merasainya
Cinta itu mendatangkan kebahagiaan dalam kesusahan. Menenangkan dalam keresahan.
Tuhan kau berilah kerahmatan dan keampunan kepada orang-orang ini. Ayah, de. Selamat jalan.

Thursday, 14 April 2016

15 April 2016 jam 1.45 pagi.

kita mendaki gunung yang sama
juga melewati cenuram gaung yang sama
kau diatas tinggi menuju puncak
dan aku masih perlahan mengintai jejak
ketinggalan jauh di kaki sebuah pengharapan.

udara yang kita hirup juga sama
pancaran matahari yang memberikan cahaya
juga kita kongsi secara bersama
jalan yang diteroka itu kini dipagari dengan pohon rendang
berselang seli bangku batu yang diperbuat dari kapas rindu
lalu aku singgah melepaskan lelah mengejar dirimu

aku sudah menghafal setiap sudut yang ada diwajahmu
gerbang rindu yang terukir dengan ukiran kasih dari airmata
berputar seirama melankolik malam ini
dari bilah perdu buluh dihadapan rumah
muncul angin merah yang menolak jendela pintu
menghembus diriku jauh terbang ke seberang sana
mengejar mimpi yang tidak kunjung tiba
seumpama cinta seorang sufi
aku adalah pengembara dan kau destinasi
dan setiap jalan itu seakan mengarah kepada mu
apabila hatiku mula bertaut dengan hatimu
segala kabus sakit yang mengiringi kita berlalu pergi
aku tinggalkan dunia dibelakang demi mu
dan sekarang segala apa yang hatiku mahukan hanyalah
menjadi warna dalam warna cintamu

dibelakang ku, bertaburan daun berwarna-warni
lalu dari taburan itu ku bersihkan menjadi hamparan sebuah padang
ditengahnya sekumpulan burung-burung sedang menunggu,
terbang kearah ku, mencengkam dan meragut
lalu jasad ku melayang di celahan awan
burung-burung itu kini membawa aku kembali pulang
dan kau, masih kekal bertakhta di puncak itu
sama ada sedang menunggu aku kembali mendaki
atau sedang ketawa melihat makhluk setinggi 7 inci melawan lupa
lupa yang tidak akan pernah kita terima.

Wednesday, 6 April 2016

Jiwang sikit

Dalam kalut siapkan esaimen sendiri, esaimen orang lain, jadi pembantu akademik orang dan bermacam lagi kerja....

Buka instagram tengok wajah dia. Di radio ada lagu cinta Hindustan. Lalu jari yang menaip kerja tadi berubah menaip kata hati yang di inspirasi kan dari sebuah lagu.

Ok lah, mood jiwang sesekali.

Friday, 18 March 2016

Sem akhir

Minggu-minggu yang memenatkan sudah tiba. Semester terakhir untuk aku. Moga-moga.
Siapkan tesis yer bang.

Sunday, 13 March 2016

afifudin bekas timbalan menteri kewangan anwar

Saje aku tulis disini. Aku seorang pelupa. Bimbang lupa, aku tulis sebagai kenangan untuk aku semak dan orang yang mengenal aku baca apa aku tau

Mont Kiara equestrian club, 9 Mac 2016.

Ok, aku dah lupa apa yang kami berbual selama tiga jam. Tapi takpe,  nanti baca dalam buku memori datuk afifudin yang kami sedang bikin. Disana aku tak lupa

Wednesday, 9 March 2016

Hari ni gerhana matahari

Ku teropong bulan
Semoga wajah kau yang muncul disana
Tapi yang kelihatan hanya kelam
Rupanya malam ini bulan gerhana
Begitulah kisah kita
Sunyi dan sepi tiada cahaya.

Masih tiada tajuk

Senyum manis
Hati gembira
Marah, juga derita
Tidak tertinggal rindu dan cemburu buta
Menzahirkan manusia itu beribu rasa

Dari lontaran wajahmu sayang
Meredupkan pancaran matahari pagi
Panas yang ku rasa mulai mendingin
Senyumanmu adalah penyejuknya
Dan rasa di hati ku adalah suis kepada semua

Di telapak tangan mu ada segaris mimpi
Yang kau pegang tak mau lepas tanpa diuji
Lalu aku hulurkan seraut kasih bersama sayang
Perlahan simpulan itu dapat aku leraikan
Lalu mimpi mu ku jadikan sebuah kenyataan
Masih kau ingat kisah itu manisku

Kalau pipit rindukan kenyalang
Kalau pungguk rindukan bulan
Begitulah aku merindukan sebuah khayalan
Yang kau bina dari batu-batu sejarah
Yang kau ukir dengan kenangan-kenangan yang indah
Dan kau tolak dengan jentolak perbezaan
Aku di tanah hina dan kau di langit mulia
Lalu segalanya yang tinggal hanya derita
Berlalu lah
Biarlah aku bahagia yang kelabu warna
Dan kau kekal
Kerana kau telah menemui syurga

Salam dari aku, cebisan sampah yang kau lontar semalam.

Sunday, 24 January 2016

Keras

Suatu masa aku nak buat hanya perkara aku suka. Itu pun setelah tiada lagi orang-orang yang aku suka. Sungguh aku terikat pada penaung yang bergantung.