Banyak waktu, tenaga dan wang kita telah bazirkan demi sesuatu yang kita anggap sebagai kejayaan. Hal ini terlintas dalam penat aku menyusun susunan kata yang dikatakan tidak indah olehnya. Indah yang bagaimana itu aku belum dapat takrifkan, kerana pendapatnya sentiasa berbeza setiap kali kami berjumpa dan berbincang. Dia ku anggap benar setiap kali itu kerana sistem yang dibina sekian lama telah menjadikannya sentiasa benar. Kami para murid hanya boleh mengakui kesilapan yang mana sebenarnya kesilapan itu sendiri merupakan ajarannya yang terbesar.
Ini sebahagian kisah yang saya pasti dilalui oleh kebanyakan para pelajar. Kebebasan berfikir, berkarya, berhipotesis dengan pendapat dan berargumentasi telah dihalang atas nama guru itu maha benar. Berapa ramai diluar sana para pendidik yang gagal menghayati makna asal mendidik. Yang dilakukan oleh mereka setiap kali bertugas adalah memasukkan data secara paksa atau sukarela. Jika sukarela, itu murid skema dan penakut. Jika paksa, maka ada murid yang akan tertinggal dan menjadi bodoh.
Pilihan-pilihan yang diwujudkan hasil daripada sikap ego dan maha tahu ini perlahan-lahan akan merencatkan pembangunan sesuatu bangsa. Ramai orang yang bercakap soal ketamadunan, tapi dalam waktu sama dialah yang menjadi watak-watak yang meracun nilai keilmuan. Negara memerlukan rakyat yang mampu berfikir secara rasional,objektif dan bijaksana yang mana hanya boleh wujud apabila kemerdekaan untuk berfikir, kebebasan untuk bersuara dan kebudayaan ilmu telah wujud. Keperluan-keperluan ini penting kerana anak muda yang kini sedang kita robotkan pada hari ini itu nanti akan menjadi penentu kepada hala tuju negara.
Proses pendidikan bukan sekadar menyampaikan data-data yang dipanggil ilmu tetapi ianya melibatkan suatu proses hubungan antara guru, pelajar, method dan persekitaran. Method yang baik adalah apabila proses mendidik itu memberikan peluang kepada murid untuk mengungkapkan apa yang diketahui atau tidak diketahui. Kebebasan berfikir dan method yang fleksibel ini akhirnya akan membawa murid menjadi lebih kreatif, bukannya melahirkan jiwa-jiwa pelajar yang mati. Keseronokan kepada ilmu adalah jalan mudah kepada kaedah mendidik. Pada waktu itu, kita tidak perlu lagi bermotivasi-motivasi yang mahal. Ada lebih baik, duit itu dilaburkan kepada perut kosong murid di waktu pagi.
Sampai satu masa, guru-guru harus sedar dan melawan apa yang sudah kita pegang selama ini. Murid kita itu selalu dipangkal depannya kita panggil dengan istilah 'anak'. Maka sesuai dengan itu, kita harus bertanggunjawab untuk merealisasikan keperluan sebenar dalam dunia pendidikan. Melaksanakan perkara-perkara yang membawa kepada kebudayaan pemikiran dan kebebasan untuk berfikir adalah tanggungjawab kita semua.
Kesimpulannya, apa yang boleh kita mengertikan adalah manusia itu mempunyai akal dan hati. Manusia itu adalah penguasa keatas dirinya, dan menjadi fitrah untuk manusia merdeka dan hidup bebas. Akhirnya,
“Guru yang tak tahan kritik boleh masuk keranjang sampah. Guru bukan dewa dan selalu benar. Dan murid bukan kerbau.” (Soe Hok Gie)
Selamat hari guru 2016. #GuruPembinaNegaraBangsa
Mohd Asmadi
1.35 a.m
16/5/2016
1.35 a.m
16/5/2016
No comments:
Post a Comment