Thursday, 9 June 2016

Episod Tarawih 2 (2016)

Pelita ini antara perkara penting yang dibawa aku setiap kali terawih masa kecik-kecik dulu. Selain itu ada mercun dan duit seringgit.  Dahulu orang kampung tak ramai yang ada kenderaan melainkan motosikal, maka menjadi kelaziman untuk berjalan kaki ke masjid atau surau berdekatan. Kami budak-budak turut ikot serta sebab di rumah tiada orang.

Pelita ini sebenarnya bukan berfungsi sangat untuk menyuluh jalan, melainkan sifat budak-budak yang suka bermain. Kebiasaannya, sebelum naik ke surau, pelita dan mercun akan disorok dalam rumpun pokok bunga. Bila selesai solat Isyak dan orang dah mula solat tarawih, kami pula akan turun. Sebelum turun, kami bedal sikit kuih atau buah yang orang bawa untuk moreh.

Seingat aku, di seberang jalan surau ada kedai runcit cina. Di situlah biasanya duit bekal yang dibawa dibelanjakan. Siang hari tak boleh membeli sebab puasa. Sambil makan, kami main mercun. Tapi kedua itu dah terbakar lebih kurang 10 tahun yang lalu. Bila dengar bilal dah masuk rakaat terawih yang terakhir, masing-masing berlari ke surau. Berlakon kononnya tadi ikut serta berterawih.

Lepas b'buke
9/7/2016

Tuesday, 7 June 2016

Songkok dan kopiah.

Songkok merupakan pakaian tradisi lelaki Melayu di kawasan Nusantara. Imej bersongkok ini dapat dilihat pada pakaian tokoh-tokoh terdahulu contohnya Tunku Abdul Rahman di Tanah Melayu dan Soekarno di Indonesia. Ada yang memakai songkok ini secara lurus dan ada yang senget sedikit ke tepi kepala. Kebiasaannya songkok ini dikenakan  dengan pakaian baju Melayu.

Bagi aku, songkok bukan perkara yang pelik. Dari tingkatan 1 hingga 5, songkok menjadi seragam penting persekolahan  kerana aku merupakan pelajar sekolah agama. Menjadi kewajipan untuk pelajar lelaki bersongkok. Namun, di luar waktu sekolah aku lebih senang mengenakan kopiah berbanding  songkok. Hal ini disebabkan oleh sentimen politik ikut-ikutan yang aku pegang ketika itu.

Dalam dunia politik orang Melayu, songkok disinonimkan dengan  orang UMNO dan kopiah itu PAS. Penutup kepala menjadi tanda pengenalan politik. Pernah terjadi dalam hidup di hadapan mata saya sendiri, seorang imam ditolak untuk menyampaikan khutbah hanya  kerana beliau memakai songkok. Sedangkan kualiti penyampaian khutbahnya saya anggap baik. Begitulah kuatnya sentimen politik dalam kehidupan masyarakat Melayu terutamanya di kawasan pantai timur semenanjung.

Tapi kini imej songkok kopiah ini bukan lagi se ekstrim dahulu. Ini dibuktikan dengan imej perdana menteri kita yang kadang berjubah dan berkopiah sewaktu berqasidah bersama  habib. Begitu juga di parti seberang, pimpinan PAS ada yang sudah mula menggunakan imej bersongkok. Muktamar yang baru seminggu berlalu menjadi buah mulut kedai kopi apabila ada pimpinan yang lengkap berbusana Melayu yang mana dulu dianggap itu sebagai assobiyah.

Entah kenapa boleh berubah itu saya tidak pasti. Barangkali yang satu mahu menunjukkan  imej islamnya di samping ketuanan melayu dan  satu lagi mahu menonjolkan sifat Melayu disebalik nilai ortodoks islam yang dipegang sekian lama. Cuma yang pasti, parti politik mana yang tak mahu mengejar undi. Begitulah lumrah manusia, berubah-ubah mengikut apa yang dikejar oleh hati.

Ditulis sementara menunggu orang membeli. Beginilah nasib kaum lelaki.

Monday, 6 June 2016

Episod Tarawih 1 (2016)

Tarawih ini membawa maksud berehat-rehat.  Perkara ni disebut oleh imam kampung saya beberapa tahun dahulu. Dipesannya jangan tergesa-gesa mengejar yang banyak sedangkan kualiti tiada.  Malam besoknya dia aplikasikan maksud tarawih itu sepenuhnya. Setiap selang antara dua rakaat, ada tazkirah. Selang empat rakaat ada rehat separuh masa. Masa itu siap ada yang ke kedai membeli rokok dan air. Malam tersebut tarawih yang cuma 8 rakaat berakhir jam 12. Masa balik, semua tersenyum-senyum. Sekadar berkongsi kenangan sempena Ramadhan.

Esoknya, aku cari masjid lain.

1 Ramadhan 2016
Jam 10.05 malam