Songkok merupakan pakaian tradisi lelaki Melayu di kawasan Nusantara. Imej bersongkok ini dapat dilihat pada pakaian tokoh-tokoh terdahulu contohnya Tunku Abdul Rahman di Tanah Melayu dan Soekarno di Indonesia. Ada yang memakai songkok ini secara lurus dan ada yang senget sedikit ke tepi kepala. Kebiasaannya songkok ini dikenakan dengan pakaian baju Melayu.
Bagi aku, songkok bukan perkara yang pelik. Dari tingkatan 1 hingga 5, songkok menjadi seragam penting persekolahan kerana aku merupakan pelajar sekolah agama. Menjadi kewajipan untuk pelajar lelaki bersongkok. Namun, di luar waktu sekolah aku lebih senang mengenakan kopiah berbanding songkok. Hal ini disebabkan oleh sentimen politik ikut-ikutan yang aku pegang ketika itu.
Dalam dunia politik orang Melayu, songkok disinonimkan dengan orang UMNO dan kopiah itu PAS. Penutup kepala menjadi tanda pengenalan politik. Pernah terjadi dalam hidup di hadapan mata saya sendiri, seorang imam ditolak untuk menyampaikan khutbah hanya kerana beliau memakai songkok. Sedangkan kualiti penyampaian khutbahnya saya anggap baik. Begitulah kuatnya sentimen politik dalam kehidupan masyarakat Melayu terutamanya di kawasan pantai timur semenanjung.
Tapi kini imej songkok kopiah ini bukan lagi se ekstrim dahulu. Ini dibuktikan dengan imej perdana menteri kita yang kadang berjubah dan berkopiah sewaktu berqasidah bersama habib. Begitu juga di parti seberang, pimpinan PAS ada yang sudah mula menggunakan imej bersongkok. Muktamar yang baru seminggu berlalu menjadi buah mulut kedai kopi apabila ada pimpinan yang lengkap berbusana Melayu yang mana dulu dianggap itu sebagai assobiyah.
Entah kenapa boleh berubah itu saya tidak pasti. Barangkali yang satu mahu menunjukkan imej islamnya di samping ketuanan melayu dan satu lagi mahu menonjolkan sifat Melayu disebalik nilai ortodoks islam yang dipegang sekian lama. Cuma yang pasti, parti politik mana yang tak mahu mengejar undi. Begitulah lumrah manusia, berubah-ubah mengikut apa yang dikejar oleh hati.
Ditulis sementara menunggu orang membeli. Beginilah nasib kaum lelaki.
No comments:
Post a Comment