Monday, 27 May 2019

Cerita 23 ramadhan 1440

Hari ini 23 ramadhan. Cuaca tidak terlalu panas seperti hari-hari yang lalu. Cuma dia seperti belum reda panasnya.

Kesilapan memang berpunca dari aku. Aku inginkan sesuatu yang sudah lama aku inginkan. Sengaja aku sembunyikan kerana malu untuk meminta-minta. Aku harapkan dia faham. Tapi aku bodoh, percaya pada rasa diri sendiri sedangkan realitinya tak seperti disangka.

Entah kenapa air mata seakan gugur. Sedangkan bukan apa-apa kisah ini nak dibandingkan dengan kisah-kisah hidup yang lalu. Sekadar sebuah impian kecil yang letaknya nanti hanya sebagai alas kaki dan hiasan di lengan. Aku yang terlalu berharap.

Aku cuba senyum dan gembira walau apa saja yang ada. Cukuplah itu kata ku kepada hati. Jangan meminta-minta. Kau tidak layak untuk mendapat keinginan mu. Kau bukan siapa-siapa...

Aku kambus rasa duka dengan timbulkan rasa rindu padanya. Aku mengerti kepenatannya. Penat memilih dan berjalan. Sedang aku cuma memerhati huruf-huruf mesej darinya memberitahu itu dan ini. Aku bukan siapa-siapa untuk ada rasa memilih. Cukuplah dia tentukan segalanya.

Dan impian kecil itu? Aku memilih untuk kuburkan juga ia sebagaimana aku kuburkan impian-impian besar dalam hidupku sewaktu kali pertama aku mengenalinya.

Demi cinta, asmadi sudah mati sebelum tibanya 1000 tahun lagi.

23 ramadhan 1440
28 May 2019
2.48 pm

Pasir gajah.

Teringin

Aku rasa semua orang ada keinginan masing-masing. Aku pon begitu. Tapi hidup kita ini ada tanggungjawab dan beban yang harus dipikul. Keinginan sentiasa bersaing dengan segala bebanan yang tak berhenti dari kunjung tiba.

Ada orang inginkan kereta. Ada yang inginkan jam. Ada yang mahukan sesuatu yang bernilai pada mata mereka. Inilah keinginan material. Tapi ramai juga diluar sana kemampuannya terhad dalam pada permintaan diri sangat tinggi. Bagi yang memutuskan tanpa akal waras,maka tak mustahil hujungnya akan menimbulkan keributan.

Manakala bagi yang sentiasa berkira-kira, kau akan mati dalam keadaan tak memilikinya. Inilah hukum alam.

5.28
22 ramadhan
27.5.2019

Pasir gajah.

Thursday, 9 May 2019

Mainan.

Jumaat pertama ramadhan. Aku belum banyak amal. Tapi ada perkara yang aku pelajari perlahan-lahan beberapa hari ini. Pelajaran-pelajaran berkaitan agama. Sekadar menambah kekurangan yang memang jelas banyak dalam diri. Cukuplah aku buat tanpa sesiapa tahu. Hidup ini tak segalanya perlu ditunjuk-tunjuk.

Persepsi orang kadang bukan boleh ditegah. Ada masa cukuplah dibiarkan saja. Asal kita percaya dah tahu siapa diri kita yang sebenar.

Semalam aku tak dapat tidur. Entah kenapa rasa sebak itu cukup dalam. Seperti ada kecewa yang tak terluah. Kecewa yang panjang dan cukup membuatkan aku tertanya-tanya. Siapa aku ini sebenarnya. Adakah sekadar satu mainan?

Entah...

Niat

Huhuhhu...

Hari ini aku beli ikan. Niat mahu bermanja, aku menyuruhnya memasak. Tiada niat selain itu. Katanya tidak pandai. Aku memberi idea dengan siapa dia boleh belajar.

Dan....

Ideaku difahami sebagai sebuah hinaan. Terkesima juga. Mengenang masa-masa lalu, aku jadi makin sunyi. Kasih dah sayang kadang-kadang menjadi marah-marah  tak ketahuan. Mungkin itu definisi sayang di akhir zaman.

Kebahagiaan bukan lagi sesuatu yang indah. Ianya cuma rajuk dan pujuk yang tak pernah berhenti dan mengira masa. Lebih bahagia apabila sebelah pihak kekal berwatak rajuk dan sebelah pihak berwatak pujuk. Mungkin inilah kebahagian. Tapi entah apa pula definisi lapis tertinggi bagi kebahagian. Mati barangkali. Kemudian menyesal dengan luka-luka sang pemujuk yang sudah tiada lagi.

Hahaha....patutlah mati itu membahagiakan bagi setengah manusia. Pada niat, aku tertanya-tanya...

4.18 p.m
9 May 2019
Nauran..

Saturday, 4 May 2019

Sunyi yang membunuh perlahan-lahan

Lagi tiga hari menuju RAMADHAN. Rasa sunyi mendayu-dayu dalam sanubari. Banyak perkara dan peristiwa yang berlaku sepanjang perjalanan hidup. Membuat kita kadang diatas gembira dan jatuh ke bawah dalam sedih yang tak dijangka

Aku sering melakukan kesilapan. Kali ini si dia merajuk lagi. Walaupun marahnya penuh dengan ungkit-ungkitan yang pada mulanya sedikit membuat aku kecewa, tapi aku sedar, dia mengungkit kerana sudah lama dia menahan beban itu. Aku sedar aku bukan lelaki biasa. Aku seorang lelaki tidak berguna.

Aku janjikan perubahan. Tapi setiap kali itu aku ulang akan kesilapan sama. Benda kecil tapi bila diulang-ulang, membentuk luka yang dalam. Hari ini aku sedar, setiap kali dia terluka dan kecewa, aku juga merasa luka yang sama. Bahkan kadang ia lebih teruk dan dalam. Aku jadi sunyi.

Semalam dia berbaju merah. Baju yang kubeli sebulan lalu. Kali pertama dia memakainya. Indah.

Hari ini dia tiada. Dia pergi menenangkan diri. Baguslah. Moga ada kedamaian yang dia rasa setelah penat melayan perangai aku yang tak pernah bersyukur akan adanya dia.

Dan aku, mula rasai sunyi yang suatu ketika dulu hampir membunuh ku. Sunyi yang hampir sama. Sunyi yang datangnya penuh dengan paku dan kaca derita. Menikam ku setiap saat dengan hirisan yang perlahan. Tidak berdarah tapi cukup untuk aku rasakan aliran pedihnya. Semoga dia selamat di seberang sana. Gembira dan menjumpai ketenangannya. Dan aku, biarlah aku disini sunyi dan sepi. Kerana hati ini, bukan milik ku sendiri lagi.

4may2019
5.51p.m
Nauran..