Wednesday, 30 September 2015

Jerebu

Malam itu sangat melankolik
Gugusan bintang hilang diragut jerebu
Hadiah persahabatan dua buah negara islam
Kiriman tahunan seumpama ufti zaman silam

asap, debu, dan bebutir raksa menerawang langit bumi.
Makhluk kecil yang kononnya berkuasa semuanya terkulai tiada bicara
Bangunan sekolah dikunci
Kedai-kedai seumpama mati
Dan kemanusiaan mula menghilang dalam jerebu sepi....

Perogol alam

Atas nama wang, sungai itu kau lacurkan
Atas nama kepentingan, hutan itu kau rogol tanpa belas ihsan
Dahulu sungai itu memberi rezeki pada insan kecil
Yang paginya memukat petang menjala dan malamnya melukah
Setiap saat dimodalkan demi sesuap makanan
Kini kebulur setelah pintu rezeki dirogol oleh makhluk kayangan.

Ketaatan pada setan dilaung-laung demi poket mu,
Manusia kecil diam takut tertulah derhaka
Dan kau tersenyum bangga sambil perutmu melebar kedepan
Melayut turun tanda rezeki haram
Sambil tangan kananmu memaut segelas wine merah,
Perlahan tangan kananmu menghalalkan sebuah lagi pencerobohan
Syukurlah, ini semua sudah ketentuan tuhan
Ayat pemerintah yang takut pada iblis bertopeng setan.

Dan kau sungai itu, juga kau hutan manisku
Aku tetap disini dalam setia mencintai mu
Biarlah berkali kau dirogol, diinzal oleh makhluk itu,
Beribu tahun lagi aku kan setia menyayangi mu
Kau lah kekasih sejati ku.

Pengharapan

Musibah ini kadang kala datang tak terduga.  Lebih melankolik bila kau mula cuba untuk membina diri, membina suatu cerita baru dia datang dan menghempas seketul beban yang tak tertanggung. Saat itu kau ada dua pilihan, satu kau ambil jalan kecewa dan berputus asa atau yang kedua kau mula sedar akan hakikat insan itu perlu bertuhan. Maka, bagi aku pilihan yang ada hanyalah yang kedua.

Tangan yang selama seringkali menjadi alat melawan ketentuanNya, rebah dan menadah memohon sedikit belas ihsan. Tadahan yang  mengharapkan rahmat dan keampunanNya menjadi alat bantu dalam menempuh satu persatu paya kesusahan. Moga dilapangkan jalan yang selama ini berbolak-balik, menjadi jalan ketenangan dalam keimanan.

Tapi kita tetap manusia, punya hawa nafsu juga keegoan yang tinggi. Setelah selesai menadah, kita lingkupkan muka ke belakang dan mengulang kembali dosa silam. Penyesalan yang datang hanya bersifat sementara. Lalu apabila datang lagi masalah yang tidak dipinta, barulah kita kembali kepada yang Esa. Inilah hakikat manusia, sombong dalam keadaan lemah, lupa dalam keadaan sedar, bangga dalam keadaan tiada apa-apa. 

Tuhan, bimbanglah aku ke jalan yang kau redhai. Jangan kau lorongan aku pada jalan orang-orang yang kau azab dengan azab seksa yang sangat pedih. Golongankan dalam kalangan hambaMu yang beriman dan berjaya, jangan kau himpunkan aku dalam mereka yang Engkau nistakan. Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia yang sangsi dengan duniaku sendiri. Paculah aku dengan rahmatMu yang ALLAH.

Monday, 28 September 2015

Puisi buatmu kawan.

wajahnya membayangkan ketegasan
suaranya keras membawa kebenaran
hidup dalam jimbaraya untuk dunia
diakhir nyawa menuju jalan keimanan

kawan
aku masih mengingati setiap gerak langkah
setiap patah kata juga setiap inci suara
kau dan aku tiada beza,
dagang rempat yang mencari sebutir permata
dihanyut alur kemodenan zaman
kejayaan kita diukur pada selembar kertas
dalam menukang mimpi, kau berundur mengadap Ilahi

kawan,
aku masih mengingati wajah akhir mu
ku bayangkan saat akhir arwah ayahku
aku masih mengingati wajah sara pagi itu
ku bayangkan raut wajah ibuku dahulu
dikeliling pusara mu, ada kawan yang merindu

kawan,
pergilah kau berehat dengan tenang
segala mimpi yang kau coret, kami kawanmu akan terjemahkan
dari sepotong tulisan, kami kan gubah menjadi sebuah kenangan
janganlah kau bersedih duka, kami disini mendoakan kau bahagia
cukuplah air mata malam itu, esok mentari senyum pasti menyinar
dan jerebu duka perlahan hilang ditelan masa.

dalam memori kasih, kau sahabatku.

12.12 a.m.
29/9/2015.
~sigila~

Saturday, 26 September 2015

Menangis

Dah 3 hari aku menangis setelah sekian lama tak mengalir air mata. Bermula hari raya haji iaitu saat melihat wajah mu kawan, hari kedua di sepanjang jalan dalam kereta waktu aku pulang. Hari ketiga aku menangis kerana keadaan sekeliling aku.

Menangis la untuk lepaskan segala yang kau rasa. Tak perlu untuk kau malu atau sombong. Kau juga manusia. Manusia punyai air mata. Jika tidak dialirkan, maka kau akan lemas dalam beban-beban yang tak berhenti.

Thursday, 24 September 2015

Selamat jalan saudaraku

Der, aku bawak alip lawat kau pagi ni. Dia bawak geng yang jumpa kau tahun lepas. Deris pon ada sekali, semalam deris sempat usung "tilam" kau, selimutkan kau kat tanah itu. Sara pon dah sampai umah kau. Azwan kejap lagi sampai. Sabtu ni iz datang lawat kau pulak. Esok mat datang katanya, hari ni dia balik Kelantan kejap. Mathis masih di Kelantan, dia kata akan datang jugak esok atau lusa kalau sempat

Ady, kak Yuyu, kak ain, kak yati semua rindu kau. Pojie telefon aku semalam, aku tahu dia rindu kau dari suara dia. Ady, dato ada tulis status dua kali tentang kau, dia siap sedia bas lagi untuk saudara kita datang lawat kau. Adam pon ada tulis pasal kau. Hari ni satu Malaysia dah kenal kau kawan. Hahaha

Semalam kami semua  bincang dalam group yang kau buat, segala mimpi-mimpi yang kau rangka kami nak selesaikan. Azri nak buat banting apa ntah tapi dia nak bawak masa konvo kau nanti. Semalam kami sembang segala kenangan yang kita semua lalui. Kami cuma nak sara gembira dalam group tu sebab kami tahu kau pasti tersenyum bila sara tersenyum . Insyallah, kami janji akan jaga sara untuk kau. Kita kan adik-beradik.

Der, fifi tak dapat datang sebab dia sakit. Tapi aku janji, aku akan usaha bawak dia datang jumpa kau satu hari nanti. Kau tenanglah disana. Jangan bimbang soal kami. LMP takkan mati. Begitu juga kau yang akan sentiasa hidup subur dalam hati kami semua. 

Ady, dengan aku selain deris, roomate kau Wan pon ada. Dia dan deris siap bawak pancing lagi mari ke dungun. Deris cerita kat aku dia menangis. Tapi bila depan orang lain dia buat-buat senyum. Semalam dia tolong kau betul-betul dari saat kau turun rumah hingga selesai segalanya. Wan pulak dia tak tidur sampai ke pagi. Dia tunjuk aku video dan gambar kau. Kami bertiga melepak kat pantai yang tak jauh dari tempat kau bersemadi. Kau jangan risau, deris tak lama lagi dah nak kahwin. 

Waktu balik tadi, aku bawak deris dengan Wan singgah rumah aku. Aku cerita kat mereka kau mengidam nak makan durian musang King tapi tak boleh makan sebab mahal. Kalau aku tahu kau nak pergi, memang aku beli hari raya lepas.

Ok la, aku berhenti dulu menulis. Deris dah panggil aku balik. Kami tengah lepak kat belakang Tanjung jara resort. Terd cakap sini antara tempat kau melepak. Cantik kerusi atas air laut  tu. Sesuai sangat kalau kau bawak sara dinner kat situ. Hahahha

Malam nanti aku tulis lagi. 

Aku tarik balik niat cuci tangan aku. Insyallah, aku akan kembali melawan. Aku nak selesaikan apa yang kita sama-sama dah mulakan.

Wednesday, 16 September 2015

Skandal

Kadang-kadang aku bosan dengan skandal dan segala macam rahsia yang datang dalam hidup aku. Entah apa yang ada dengan jasad aku, setiap orang aku kenal akan aku jumpa rahsia peribadinya.

Setan!

Friday, 11 September 2015

Pagi bisu

Dah lama aku hidup dengan keadaan gelak dan gembira, tapi pagi tadi ada manik kaca di kolam mata aku. Semuanya bermula apabila ada yang berbual soal lebah di stor sukan. Bagi aku, juga bagi keluarga aku, lebah sangat memberi kesan kepada kami. Dah 5 tahun berlalu, dan setiap detik, setiap peristiwa juga setiap apa yang dilalui aku masih ingat satu persatu.

Kata orang....

“Sometimes the best memories are sad, because you know they will never happen again.”

Dan ada banyak memori yang menjadi bayang kepada hidup aku selepas 30/10/2010. Semoga kau digolongkan  dalam kalangan penghuni syurga Ayah.

Kenangan

Saat irama lagu itu berputaran, aku seakan bisu tiada bicara. Sesekali senyum menyulam wajah kusam ini. Wajah-wajah yang hadir di dalam mimpi malamku seakan menari-nari di bayangan mata. Dan kenangan yang terimbau pada pagi hari mengalirkan air mata pada pipi yang suci tiada berdosa.

Ada yang kulihat berlari. Lapar, dahaga, kehilangan punca, terpingga-pingga dan sesal dengan kehidupan menjadi warna wajah mereka . Jalan-jalan kenangan seakan beban yang menyukarkan setiap langkah yang di pijak. Cahaya yang diharap tidak pasti bila akan hadir. Dan di celah segala, suara anak kecil memohon ehsan manusia bergayutan dari satu sudut ke sudut yang berbeza.

Alam. Suatu bentuk kurniaan Tuhan yang maha Esa. Diciptakan manusia agar menjadi pelukis gambar dunia. Ada yang melakar alur keharmonian, namun ada juga yang menggali longkang kejahatan.

Diatas singgahsana berdiri jasad-jasad yang berakalkan perut dan nafsu. Dari tempat tinggi itu, arahan suci dialun-alun. Beberapa inci dari kaki, melutut para penjual agama. Menulis dan menghujah setiap dosa agar menjadi pahala. Bicaranya bicara syurga, sambil tangan meratah dosa.

Lalu aku tetap di sini. Menanti kau kekasih hati. Orang yang aku sayang, aku cinta, dan aku sanjungi. Kalian yang pernah baik padaku, pada dunia yang kalian cintai. Berjuang lah semampu mu, sesungguhnya kalian makhluk-makhluk yang tidak pernah lelah dari bermimpi. Mimpi sama seperti ku, satu dunia menyampaikan wahyu yang Esa. Dalam harmoni kita berselingkuh mesra.

Sunday, 6 September 2015

Tragedi masjid Kuala kubu

Semalam, hari Sabtu 5/9/2015 tepat jam 5.48 petang di masjid Kuala Kubu telah terjadi suatu peristiwa ngeri lagi mengejutkan.

Selesai melabur di tandas masjid, aku segera mengambil wuduk. Tangga tinggi di bahagian belakang masjid aku daki. Aku lihat Afiq terlentang. Katanya dah selesai solat.

Aku apa lagi, betulkan kedudukan kat bahagian belakang masjid, dalam kawasan "lambur"  masjid kata orang Terengganu terus mengangkat takbir.

Selang beberapa detik, terdetik di hati, "betul ke kiblat aku ini". Dan aku terpandang corak mozek yang tak sehala dengan tubuhku. Aku terus berhenti. Dari balik dinding, aku mengintai ke dalam masjid.

Rupanya aku salah kiblat. Aku solat menghadap ke arah mata angin selatan.

Selepas peristiwa tersebut, aku kini insaf dan sentiasa berjaga-jaga. Mohon semua tolong aminkan doa aku ini.

"semoga tiada mata yang melihat pada ketika itu. Jika ada yang melihat, maka Kau lupakan lah ingatan mereka terhadap peristiwa itu Ya Allah yang maha Pengasih lagi Penyayang.

Panggil aku HAJI!

Setiap tahun, bila tiba musim menunaikan haji, maka berbondong-bondong la manusia ke Tanah Suci. Jika sebut pada mulut, semuanya menyatakan niat yang sama "menunaikan haji di baitullah bagi yang mampu"

Waktu kecil dahulu, aku selalu mendengar cerita dari orang tua. Katanya sekarang dah senang nak ke Mekah. Naik kapal terbang beberapa belas jam dah boleh sampai. Dahulu kalau nak ke Mekah, 3 bulan naik kapal laut baru boleh sampai. Semalam aku tengok pada dinding facebook, gambar-gambar orang kita yang nak ke Mekah. Semuanya senyum gembira. Ada yang kali pertama, ada yang kali ke berapa dah. Maknanya disini, kini sangat mudah untuk seseorang itu laksanakan haji. Asal saja ada duit. Jika tidak tersenarai dalam kuota tabung haji, bagi yang mampu boleh pergi melalui agensi swasta.

Semalam juga aku lihat pada dinding facebook aku gambar keadaan mangsa banjir di Kelantan yang di muat naik oleh seorang pensyarah aku yang sejak banjir tahun lepas tak henti-henti dengan kerja sukarelanya melalui NGO. Semalam juga, aku tengok tidak henti-henti manusia berkongsi gambar mangsa perang Syria yang lari ke Eropah. Paling jelas gambar mayat anak kecil yang lemas akibat bot karam.

Ramai yang mengkritik negara arab kaya yang tidak hulurkan bantuan. Salah satunya Arab Saudi yang ramai kawan dan saudara-mara kita sedang kunjungi. Untuk makluman, melalui amalan haji dan umrah sangat membantu ekonomi Arab Saudi. Aku boleh simpulkal ini merupakan pelancongan ibadah.

Dulu aku pernah tulis mengenai cadangan untuk boikot haji dan umrah bagi beberapa tahun. Bukan tujuan untuk melawan agama, tapi atas dasar solidariti kita pada nasib umat akibat kebiadapan arab dan ketakutannya pada Amerika. Bagi yang kali pertama aku masih boleh pejam mata, tapi jika yang tiap-tiap tahun ke Mekah ini kadang aku rasa nak maki.

Iya, memang hak kau untuk ke Mekah sebab guna duit kau. Tapi kau pernah dengar atau tidak yang lebih afdal duit itu disalurkan kepada yang lebih memerlukan. Bahkan kau juga boleh mengajar saudi. Biar kali ini tiada manusia yang ke Mekah. Boikot haji dan umrah bukan atas dasar kau mahu mencabar Tuhan, tapi sekadar mengajar arab agar mereka cuma ada satu Tuhan iaitu Allah yang Esa. Bukannya menyembah kepada Amerika Syarikat.


Thursday, 3 September 2015

Baik diam dari terus bodoh

Makin banyak aku cakap, aku kritik, aku tulis aku rasa aku makin bodoh. Bercakap tentang orang lain, masalah orang lain, cerita orang lain. Ulas macam aku cukup sempurna. Tak ada dosa dan tak pernah silap. Kadang-kadang aku perasan yang aku semakin riak.

Pernah aku cuba berhenti. Aku berjaya untuk seketika. Itu pun sebab aku cuba lari seketika setelah aku kecewa dengan perancangan yang aku rancang gagal setelah sekian masa dan tenaga aku guna.

Entah la, aku manusia. Tak pernah lelah dari kumpul dosa. Buat silap dah jadi perkara biasa. Tak ada rasa bersalah mahupun menyesal dengan semuanya. TUHAN, aku berdoa kepada mu. Aku bukan siapa - siapa, aku cuma hamba mu yang berdosa. Ampun dosa ku. Kuatkan iman ku. Teguhkan amalan ku terhadap mu. Aku tak sanggup pulang kepada mu dalam keadaan hina. Dalam keadaan manusia yang celaka. Tuhan, semoga kau perkenankan permintaan hamba. Hamba mu yang tak pernah sesal dari sombong dan angkuh dengan Pencipta yang Esa.

Khamis
3/9/2015
9.59 p.m

Kecewaliss

Hari ini kita belajar perkataan baru, "kecewalis". Suatu istilah yang merujuk kepada lelaki-lelaki yang gagal, lemah dan tidak berjaya sehingga terpaksa mencari suatu jalan lain bagi menutup kelemahan itu. Contohnya gagal dalam cinta dan memilih dunia selainnya untuk menutup kelemahan dalam cinta. (kamus dewan madi, 2015)

Ok, aku mudahkan pengajaran topik hari ini dengan sebuah kisah yang tidak berkaitan dengan yang sudah mati.

Bacalah dengan nama madi!

Ada satu mamat ni, namanya iz, (mungkin nama sebenar).  Perjuangannya nampak power, kental dan berbisa. Setelah diselidik rupanya memilih dunia aktivisme setelah gagal dalam semua perkara terutamanya soal wanita.

Entah apa badi yang melingkar badannya, setiap cuba membuka layar cinta, pasti batu sauh jatuh. Maka karam lah impian mamat sesikat ini bersama serikat memeseswe nya. Tapi yang menonjolkan lagi kelemahannya bila dia suka berimaginasi yang dia terlalu powerrrrr. Ingat saudari saudari, kalau jumpa jenis sembang tinggi ke langit, percayalah yang ini merupakan simpton-simpton kecewaliss

Akhir kata, selamatkan wanita dari kecewaliss. Save Malaysia from gagalis