Hari ini 1 Januari 2019. Hari pertama. Kata orang mesti ada azam baru. Aku semak tulisan terakhir yang tertulis dua tahun lalu. Lama sudah rupanya aku tinggalkan blog ini. Di sini hanya akan aku tulis bila aku rasa sunyi dan sendiri. Barangkali hari ini aku kembali sunyi. Di sini juga tempat aku membebel seorang diri kerana aku percaya tiada orang akan membaca tulisan-tulisan aku ini. Bagi aku, tulisan sangat membantu aku meluahkan segalanya selepas dunia di sekeliling ku mulai pekak dan bisu.
Cinta...
Cinta adalah satu perasaan yang Tuhan kurniakan kepada hambanya. Boleh jadi kepada sesiapa ada kepada sesuatu benda. Perasaannya tidak boleh digambarkan dengan kata-kata. Hari ini aku kembali menulis kerana sunyi dan cinta. Nikmat Tuhan yang boleh membawa kegembiraan dan boleh juga membawa kepada kesunyian. Setahun lebih aku gembira merasa apa itu cinta. Entah kenapa tiba-tiba aku merasa sunyi di ketika ini. Mata tiba-tiba basah dan hidung sedu-sedan tanpa rela.
Khayalan...
Cinta kepada kekasih kata orang adalah perkahwinan. Kahwin kini menjadi suatu topik yang berlegar-legar di sekeliling ku. Masa aku tingkatan 2, aku pernah kata yang umur 21 aku akan kahwin dan mengundi jatuhkan pemerintah ketika itu. Dan tahun lepas, pemerintah itu telah jatuh tetapi aku masih bujang. Dahulu aku rasakan perkahwinan dan bujang itu dipisahkan oleh satu jalur yang sangat nipis, "salam kadi dan penerimaan setuju sang kekasih". Tapi itu hanya khayalan anak kecil yang tak tahu erti hidup sebenar. Hari ini aku merasai setiap titik sukar yang selama ini tak kelihatan.
Aku lahir dalam keluarga biasa. Tidak miskin dan susah tetapi hanya cukup keperluan asas meneruskan hidup. Kami tidak pernah memijak dunia orang senang. Bagi kami hidup adalah kegembiraan dan kegembiraan itu adalah sesuatu kesenangan hati bukannya pada nilai wang ringgit. Tapi aku sekarang terpijak suatu dunia berbeza. Dunia yang memikirkan wang adalah kebahagiaan dan menutup mata pada kesusahan. Banyak soal-soal yang tidak mampu aku penuhi. Tetapi kemahuan hati (kebodohan hati) telah memaksa aku memenuhinya. Aku terima dalam waktu sama berharap aku boleh bernegosiasi dengannya. Tapi aku kalah dan mulai rasa sunyi dan sendiri.
Terpaksa dalam rela.
Pesan arwah ayah, anak jantan jangan mudah mengalah. Usaha semampu boleh. Aku percaya pada kata itu. Semalam aku menangis sewaktu orang bertepik gembira melihat bunga api tahun baru. Hari ini aku dalam gusar aku menipu diri untuk terus optimis dan berusaha. Aku terima ia sebagai cabaran dan juga ujian. Aku mengharapkan dia faham tapi aku hanya menaruh harapan. Tapi aku anak jantan, aku akan cuba walau apa jua cara. Keinginan dan kemahuan mu akan aku tunaikan. Aku sayang kamu dan aku terima ia sebagai suratan. Moga Tuhan kuatkan aku dan mudahkan aku. Aku berdoa, moga hanya kematian yang menamatkan usaha aku ini, bukannya alasan-alasan lain.
Hari ini aku buka lembar baru. Senyum walaupun dia tak pernah buka mata sebenar padaku...
No comments:
Post a Comment